Home The Writer Counseling Life Motivation Islam

SEJAUHMANA ANDA DAPAT MEMBANTU PELAJAR ANDA?

PENULISAN REFLEKSI PENGAJARAN & PEMBELAJARAN DI KELAS



REFLEKSI KEEMPAT
SEJAUHMANA ANDA DAPAT MEMBANTU PELAJAR ANDA?               
OLEH             : FAZLIYATUN BT FAZIN

1. Apa yang anda faham tentang pembentangan rakan anda?
Berdasarkan tajuk yang telah dibentangkan oleh rakan saya, ia berkaitan mengenai sejauhmana kaunselor pelatih itu sendiri membantu pelajar di sekolah. Semasa menjalani praktikum kaunseling inilah yang memberi peluang kepada semua kaunselor pelatih menjalankan tugas sebagai seorang kaunselor. Bukan sahaja untuk memenuhi keperluan jam kredit, namun niat dalam hati adalah untuk membantu serta membimbing pelajar dalam usaha mengembangkan segala potensi yang ada pada seseorang pelajar itu semasa di sekolah. Pembentangan rakan saya ini juga menyedarkan saya betapa pentingnya kita sebagai kaunselor dalam sesebuah institusi pengajian.

Sepanjang menjalani praktikum, sebagai kaunselor pelatih perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berkhidmat sebagai kaunselor pelatih. Dalam menghadapi apa jua cabaran di sekolah, kita perlu sentiasa bersikap positif dan menerima kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya ke arah yang lebih baik lagi. Apa yang penting di sini ialah niat ikhlas untuk membantu pelajar.

Berdasarkan pembentangan rakan saya ini, saya dapat menilai keberkesanan beliau dalam membantu pelajar-pelajar sekolah beliau. Apa yang paling penting di sini ialah beliau kenali diri sendiri dan keupayaan beliau untuk membantu pelajar-pelajar di sekolah. Rakan saya juga menerangkan mengenai pengalamannya sepanjang praktikum bersama pelajar-pelajar dan beliau berasa menjadi satu tanggungjawab beliau untuk membantu para pelajar di sekolah.


2. Apa kaitannya dengan profesion anda sebagai kaunselor?

Tajuk pembentangan ini amat signifikan dalam hidup saya sebagai seorang kaunselor pelatih. Semasa saya menjalani latihan praktikum kaunseling, kesediaan yang kukuh dari segi mental dan fizikal amat perlu bagi saya menghadapi praktikum ini. Sebelum memulakan praktikum ini saya berasa amat bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan yang cukup baik dalam meniti hari-hari sebagai kaunselor pelatih. Walaupun berada dalam keadaan mental yang tidak bersedia, namun saya hanya mampu bertawakkal dengan berbekalkan ilmu-ilmu teori yang diperolehi di UPSI.

Saya mengenali diri saya sendiri sebagai seorang yang mudah didekati dan agak peramah. Di sebalik ciri-ciri ini saya seorang yang agak sensitif. Apabila pelajar-pelajar datang mendekati saya dan menegur saya sebagai seorang cikgu, di sinilah saya rasa amat gembira kerana diterima dan dialu-alukan sebagai seorang kaunselor pelatih di sana. Walaupun kadang-kadang terdapat segelintir pelajar yang kurang menghormati saya sebagai kaunselor pelatih, mereka menganggap saya masih pelajar, belum menjadi seorang guru, namun saya kuatkan diri saya dan sentiasa berfikiran positif menerima apa jua keadaan yang berlaku. Melalui perkara inilah saya dapat belajar menerima kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya dan sentiasa ikhlas untuk membantu pelajar.

Pada bulan pertama saya praktikum, saya mencuba pelbagai kaedah dan pendekatan untuk mendekati pelajar dan supaya pelajar mengenali saya sebagai kaunselor pelatih. Saya menggunakan cara dengan mempromosikan diri dengan menampalkan brochure di semua kelas. Brochure tersebut dibuat agar pelajar mengenali saya dan rakan saya serta perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang ditawarkan. Dengan usaha keras saya berjumpa dengan penyelaras jadual relief, akhirnya saya dapat mengenali pelajar dengan cara masuk ke kelas ganti (relief kelas). Setiap kali saya masuk ke kelas pada waktu kelas ganti, saya akan mengadakan bimbingan kelompok dan pelbagai kaedah serta modul yang saya gunakan untuk menarik minat pelajar.

Sekolah SMK Sg Bayor yang terletak di Selama, Perak ini mempunyai 100% pelajar Melayu, bagi saya ia tidak menjadi masalah untuk saya berkomunikasi dengan pelajar serta persekitaran kampung di sana menunjukkan sekolah ini salah satu sekolah di pedalaman. Ia memberi cabaran kepada saya dan rakan kerana kami dihantar di sekolah pedalaman, ibarat banyak benda yang susah didapati di sana. Saya seringkali dihantar masuk ke kelas hujung untuk relief dan melalui peluang inilah saya dapat berkomunikasi dengan pelajar yang mempunyai status akademik yang rendah. Saya merasakan terlalu mencabar dalam mengendalikan bimbingan kelompok di dalam kelas yang mempunyai pelajar rendah akademik namun saya cuba berusaha membimbing mereka dengan pelbagai kemahiran melalui modul bimbingan dan kaunseling. Bertitik tolak dari sinilah saya menerima pelajar dengan seadanya dan tidak mendiskriminasikan pelajar mengikut tahap akademik mereka. Apa yang paling penting, pelajar-pelajar sekolah ini semuanya berlatar belakangkan pelajar dari pedalaman dan ia penting bagi saya untuk memahami dan menerima latar belakang diri pelajar dengan terbuka. Kisah-kisah yang mereka biasa kongsikan dengan saya pun banyak mengenai suasana kampung contohnya ada satu kes di mana seorang pelajar tingkatan satu yang pernah mengalami kemalangan dengan seekor kambing. Walaupun agak lucu, namun saya mendengar kisahnya sebelum beliau mengalami kemalangan tersebut.

Selain itu, saya juga menjalankan perkhidmatan yang paling penting dalam bimbingan dan kaunseling iaitu sesi kaunseling individu dan kelompok. Untuk menarik pelajar mendapatkan sesi agak sukar dan ia memerlukan ilmu, pengalaman serta kaedah yang sesuai. Bagi saya sendiri, saya agak terkapai-kapai untuk mendapatkan klien dan atas bantuan kaunselor pembimbing, saya berjaya mendapatkan klien seorang demi seorang. Saya menjalankan sesi kaunseling individu dengan mewujudkan suasana teraputik supaya klien berada dalam keadaan selesa dan beliau sudi berkongsi isu serta masalah yang dihadapinya. Penerimaan tanpa syarat sebagai aspek yang paling penting kita sebagai seorang kaunselor menerima siapa sahaja klien yang datang. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, banyak kes serta isu yang dialami oleh pelajar yang mencabar saya untuk mengendalikan sesi kaunseling. Saya perlu kuat mental dan fizikal dalam menangani keadaan klien-klien yang berbeza situasi dan emosi mereka sendiri. Di sini saya berusaha untuk menstabilkan emosi ketika menjalankan sesi kaunseling. Ada yang datang menemui saya secara sukarela dalam keadaan menangis teresak-esak. Banyak lagi situasi serta keadaan di sekolah yang saya pernah hadapi yang menguji saya sebagai seorang kaunselor. Namun, kerana tuntutan tugas serta amanah, saya perlu menjalankan dengan baik agar saya dapat membantu serta membimbing para pelajar bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek intelektual, jasmani, emosi dan rohani serta beriman dan beramal soleh.

Saya mengakui walaupun saya seorang kaunselor pelatih dan kadang-kadang buat sesi kaunseling pun masih berterabur, tak ikut step yang sepatutnya, tetapi fokus saya masih tetap tidak lari dari membantu klien-klien saya menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Sehinggakan ada kalanya ketika saya ingin pulang ke rumah otak saya ligat berfikir apakah jenis teknik dan cara yang sesuai untuk membantu klien-klien saya. Setiap masalah memerlukan cara dan teknik yang berbeza. Sebagai contoh,  kita tidak boleh nak samakan kandang lembu dengan reban ayam. Patut ke kita nak gunakan reban ayam sebagai tempat untuk lembu-lembu tinggal? Amat tidak sesuai, begitulah juga dengan kes-kes klien saya yang berbeza dan perlu menggunakan teknik yang berbeza.

Ketika sesi dijalankan, saya menghadapi masalah berfikir soalan-soalan yang membolehkan klien celik akal dan sedar kesilapan yang mereka lakukan. Maksudnya otak kita juga kena ligat berfikir untuk menepis segala perangkap yang mungkin disediakan oleh klien untuk menyelamatkan diri mereka. Silap bermain dengan soalan, diri sendiri akan terjerat.

Perkara yang paling sukar adalah untuk mengubah sikap dan tingkah laku negatif klien kepada tingkah laku positif. Ingin mengubah sikap negatif yang telah bertahun lamanya bersarang dalam diri memang terlalu sukar. Kadang-kadang saya berasa give up. Namun apa-apa pun, tugas tetap tugas. Walaupun ia sekadar memenuhi tuntutan jam kredit praktikum, namun niat ikhlas kita adalah ingin membantu klien kita dengan sedaya upaya yang kita mampu. Saya cuba mendekati klien-klien saya walaupun saya telah menamatkan sesi dengannya. Saya bertanyakan perkembangan klien saya dari semasa ke semasa supaya mereka tahu saya mengambil berat tentang diri mereka.

Apa yang saya harapkan berlaku supaya apabila saya menamatkan latihan praktikum nanti, pelajar-pelajar di bawah pengawasan saya serta bekas klien saya dapat meneruskan perubahan dalam diri mereka. Mereka perlu ingat, perubahan itu bukan hanya untuk sehari dua sahaja, tetapi untuk selama-lamanya.


3. Kepentingan berdasarkan dunia kaunseling
Sejauhmana saya dapat membantu pelajar saya bergantung kepada atas usaha serta niat ikhlas untuk membimbing dan membantu pelajar saya. Saya bukan sekadar guru malah juga pendidik perlu menyebarkan ilmu dan bertanggungjawab membentuk jati diri dalam melahirkan masyarakat yang gemilang demi masa depan bangsa dan negara. Golongan pendidik dituntut menjalankan tugas mendidik serta membimbing dengan penuh ikhlas dan jujur agar segala ilmu yang dicurahkan dapat menghasilkan kecemerlangan seperti yang diidamkan.

Bimbingan adalah proses pemberian bantuan terhadap individu untuk mencapai pemahaman dan pengarahan diri yang diperlukan untuk melakukan penyesuaian diri secara maksimum terhadap sekolah, keluarga serta masyarakat. Kaunselor berperanan dan bertanggungjawab dalam usaha mengembangkan segala potensi yang ada pada seseorang individu semasa di sekolah. Di sekolah menengah, bimbingan dan kaunseling merupakan satu tanggungjawab yang besar yang perlu dimainkan oleh seseorang kaunselor.

Sebagai seorang kaunselor, saya berperanan menyelaras semua aktiviti bimbingan dan kaunseling dengan disokong dan dibantu oleh aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Perkhidmatan yang diberi kepada semua pelajar bagi mendapatkan khidmat bimbingan ini tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka berhak mendapatkan pertolongan ini apabila mereka perlu terutamanya dalam masa-masa menuju proses perkembangannya. Mereka dilayan untuk perkembangan potensi dan kebolehannya supaya berkembang dengan kadar yang sepatutnya mengikut tahap-tahap dan perkembangannya.

Para pelajar akan dibantu memahami dirinya, diri orang lain dengan mendalam dan menerokai tujuan hidupnya. Di samping itu menolong mereka serta merancang hidupnya dengan berkesan dengan berorientasikan masa depan dan masa kini. Hasilnya, pelajar akan lebih asertif, boleh menyesuaikan diri serta memahami kesan daripada segala tingkah lakunya pada masa kini dan masa hadapan. Di sinilah peranan saya sebagai kaunselor dan pelajar menyedari kelemahannya dan kemudian dibantu mengukuhkan kekuatan-kekuatan yang ada pada dirinya serta memperbaiki kelemahan yang ada.

Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menjadi tugas bersama terutama semasa melaksanakan program dan aktiviti bimbingan di sekolah. Para guru, pihak sekolah, ibu bapa dan rakan-rakan sebaya patut bekerjasama. Maklumat yang banyak perlu disebarkan kepada pelajar. Justeru itu, kaunselor hendaklah mengenali diri pelajarnya dengan memahami pelajarnya itu secara menyeluruh.


4. Apa isu dan masalah yang wujud dalam pembentangan tersebut?
Masalah yang timbul adalah kaunselor tidak mengetahui adakah klien itu dapat menyelesaikan masalahnya seratus peratus. Kaunselor tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mengetahui pelaksanaan sesi kaunseling berjaya ataupun tidak. Kaunselor hanya membuat sesi susulan dengan klien sahaja berkenaan dengan masalah yang dihadapinya.Kaunselor menghadapi masalah untuk menjalankan sesi kaunseling pada waktu P & P kerana pihak pentadbiran tidak memahami peranan kaunselor yang mana untuk membantu klien.Hal ini kerana klien tidak mengira waktu untuk menjalankan sesi , baginya apabila klien merasakan dirinya tidak dapat mengatasi masalah tersebut , klien akan mencari kaunselor untuk meluahkannya. Menurut penerangan beliau juga, beliau turut dibebani dengan kerja di luar bidang tugas kaunseling.

5. Bagaimana anda ingin mengatasi masalah-masalah itu?
Masalah ini dapat diatasi dengan cara saya akan membuat sesi susulan sekerapnya agar dapat mengetahui perkembangan klien yang tepat. Kemudian saya akan membuat program berfokus contohnya program untuk pelajar ponteng supaya dapat mengetahui perkembangan setiap klien dari peringkat ke peringkat yang lebih baik. Daripada masalah dengan pentadbir pula saya akan cuba berbincang dan menyatakan peranan kaunselor yang sebenarnya agar tidak timbul salah faham dan masalah lain yang timbul. Saya juga akan cuba berbincang dengan klien untuk menjalankan sesi di luar waktu P & P , misalnya selepas waktu persekolahan agar tidak menganggu waktu pembelajaran dan keadaan sesi lebih teraputik.


6. Apa ilmu-ilmu baru yang anda peroleh?
Antara ilmu baru yang dapat saya ketahui di dalam pembentangan kali ini adalah kepelbagaian jenis klien semasa di sekolah. Selain itu, saya dapat merasai pengalaman dunia sebenar kaunseling yang berbeza berbanding semasa saya belajar di universiti. Malahan, kaunselor juga perlu bijak bagi mengatasi masalah dengan pentadbiran agar tidak berlaku penindasan peranan dan konflik yang boleh merosakkan dunia kaunseling dan pendidikan.

7. Bagaimana anda dapat menintegrasikan ilmu yang dibentangkan oleh rakan anda? Berikan hujah anda berdasarkan fakta keilmuan.
Kaunselor memainkan peranan yang amat penting di dalam diri pelajar dan bidang pendidikan secara umum. Kaunselor secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi pelajar dalam menentukan masa hadapan mereka. Terdapat pelbagai peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang kaunselor. Amnya, kaunselor membantu membimbing pelajar dan bekerjasama dengan pihak lain seperti keluarga, guru-guru, organisasi dan pentadbiran untuk membantu pelajar dari segi pencapaian akademik, pembangunan diri dan sosial, serta pencapaian kerjaya. Kaunselor biasanya dilatih dan mempunyai pemahaman yang mendalam dalam bidang kaunseling.

Kaunselor sekolah mempunyai peranan penting dalam agenda pendidikan negara. Banyaknya permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar jelas menunjukkan keperluan perkhidmatan kaunselor di sekolah. Kaunselor sekolah dikatakan dapat membantu menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar melalui pelbagai cara seperti berikut,

a)      Membantu perubahan tingkah laku pelajar
b)      Membantu pelajar membuat keputusan
c)      Mempercepatkan seseorang menjadi rasional
d)      Membantu pelajar berkembang dalam pelbagai bidang
e)      Membantu pelajar membuat penyesuaian yang paling baik di sekolah dan di luar sekolah.
f)       Membantu pelajar untuk memilih pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka.
g)      Membantu pelajar memahami diri mereka.
h)      Mengenalpasti pelajar yang memerlukan pertolongan khas.
i)        Mengenalpasti masalah kemerosotan disiplin
j)        Pencegahan dadah di sekolah
k)      Menyebarkan maklumat terkini
l)        Perkhidmatan invemtori individu

Kaunselor bukan sekadar guru bimbingan kaunseling semata-mata dan bukan seorang pembimbing kepada pelajar, malah ia lebih daripada itu. Peranannya agak luas dan bukan sekadar di institusi pendidikan semata-mata. Walaupun tidak mengajar, namun tugas untuk membimbing bukan mudah dilakukan oleh mana-mana guru di sekolah. Bukan mudah untuk seorang guru bimbingan dan kaunseling untuk memberikan keyakinan kepada pelajar, bahawa mereka sedia membantu pelajar-pelajar untuk membina keyakinan diri dan juga menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai seorang guru kaunseling, tidak cukup bagi mereka sekiranya hanya mempunyai kelulusan yang tinggi dalam bidang bimbingan dan kaunseling, tetapi ciri sebagai seorang penyampai maksud yang berkesan tidak dikuasai sepenuhnya. Sebagai kaunselor, saya perlu mempunyai ciri-ciri positif yang dapat mendorong dan merangsang pelajar melakukan perubahan untuk kebaikan diri. 

Apa yang paling penting, niat ikhlas dalam mmbantu pelajar supaya mereka menjadi insan yang cemerlang dalam akademik dan cemerlang peribadi mereka. Doktor mendiagnosis, mengubat serta merawat pesakit. Ia boleh dilihat serta dirasai. Kaunselor mendidik serta membimbing para pelajar, menyelami perasaan mereka tanpa dapat disentuh perasaan mereka. Bagaimana kaunselor ingin menyentuh perasaan klien sedangkan perasaan itu tidak boleh dilihat secara konkrit? Doktor tidak dapat menyelamatkan seorang, satu nyawa hilang. Sekiranya kaunselor gagal mendidik serta membimbing pelajar, satu generasi akan gagal.

Di sini pentingnya saya sebagai seorang kaunselor mengamati peranan kaunselor di sekolah kelak, niat ikhlas serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Allah dan kepentingannya kepada negara serta generasi akan datang. Untuk mengubah insan lain, saya perlu mengubah diri saya dahulu. For things to change, I must change first.





Terima Kasih Kerana Sudi Membaca,Sila Berikan Komen Serta LIKE (:

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

 
Template Edited By H Nurani's Sketch ♥ All Rights Reserved © 18 Sept 2013