Home The Writer Counseling Life Motivation Islam

ADAKAH KAUNSELOR PEMBIMBING BENAR-BENAR MEMBIMBING?


PENULISAN REFLEKSI PENGAJARAN & PEMBELAJARAN DI KELAS



REFLEKSI KETIGA
ADAKAH KAUNSELOR PEMBIMBING BENAR-BENAR MEMBIMBING?
OLEH : AMYLIA BT BACO

1. Apa yang anda faham tentang pembentangan rakan anda?
Berdasarkan tajuk ini, ia berkaitan mengenai tugas seorang kaunselor sekolah yang menjalankan tugas sebagai seorang kaunselor pembimbing kepada rakan saya di sekolah beliau. Pembentangan rakan saya agak menarik pada permulaannya. Saya boleh katakan beliau menggunakan set induksi yang berbeza dan amat menarik berbanding pembentang pertama dan kedua. Beliau belum lagi menjawab persoalan tajuk yang dikemukakan, tetapi beliau menggunakan kaedah soal jawab kepada kami semua mengenai skala yang patut diberikan kepada kaunselor pembimbing masing-masing. Persoalan yang dikemukakan oleh beliau menjurus kepada skala namun bagi pendapat saya, saya perlu mengetahui jawapan secara subjektifnya mengenai persoalan ini.

Beliau memberikan skala 8.5 daripada 10 markah kepada kaunselor pembimbing beliau. Menurut penerangan beliau, skala 5 sudah cukup  baik untuk diberikan kepada setiap guru kaunselor pembimbing. Walaupun kaunselor pembimbing beliau sudah 10 tahun bertugas sebagai seorang kaunselor namun tunjuk ajar serta kerja-kerja yang dilakukan oleh kaunselor pembimbing beliau mungkin dapat dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Menurut rakan saya ini, aspek pertama yang dinilai dalam menentukan sama ada kaunselor sekolah tersebut benar-benar akan membimbing beliau adalah dari aspek latar belakang kaunselor tersebut. Pada awalnya, beliau agak tertarik dengan latar belakang kaunselor tersebut. Kaunselor tersebut juga merupakan guru pendidikan Islam di sekolah rendah kebangsaan. Kriteria yang ada pada kaunselor ini sebenarnya mempengaruhi persepsi rakan saya. Walau bagaimanapun, beliau dan rakan seperjuangannya tetap menjadi diri mereka sendiri tanpa mengubah apa-apa tetapi beliau akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada pada diri mereka dengan sebaik mungkin.

Melalui latar belakang pendidikan kaunselor pembimbing rakan saya ini, rakan saya beranggapan kaunselor pembimbing beliau layak menjadi kaunselor pembimbing untuk pelajar praktikum kerana melalui pengalaman yang ada pada diri kaunselor tersebut.

Selain itu, jangkaan serta harapan yang tinggi diletakkan pada rakan saya oleh kaunselor tersebut. Hal ini kerana berdasarkan pembentangan rakan saya ini, kaunselor pembimbing beliau mengharapkan yang terbaik dari kedua-dua rakan saya supaya dapat menaikkan lagi mutu perkhidmatan unit bimbingan dan kaunseling di sekolah terbabit. Rakan saya juga ada menyatakan bahawa beliau dan rakannya berbincang dengan kaunselor pembimbing beliau mengenai perancangan aktiviti bimbingan dan kaunseling kerana pada awal praktikum setiap seorang daripada kalangan guru kaunseling pelatih perlu menyediakan jadual perancangan 16 minggu sepanjang menjalani praktikum. Dalam perbincangan tersebut, rakan saya dibimbing oleh kaunselor pembimbing beliau dan akhirnya membuat keputusan untuk menyelaraskan jadual perancangan praktikum dengan jadual perancangan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolahnya.

Walaupun terdapat banyak tugas serta amanah yang perlu dijalankan sepanjang berpraktikum, namun kaunselor pembimbing beliau banyak memberi sumbangan dari segi berkongsi pengalaman dan tidak pernah terlepas pandang dalam menilai hasil kerja kaunselor pelatih.


2. Apa kaitannya dengan profesion anda sebagai kaunselor?
Peranan yang dimainkan oleh guru pembimbing memberi pengaruh yang kuat kepada saya kerana mereka menjadi role model dalam pembentukan personaliti guru pelatih sebagai seorang guru. Semasa saya menjalani internship kaunseling, saya diberikan seorang guru pembimbing yang sama dengan rakan saya. Bererti kami berkongsi kaunselor pembimbing yang sama.

Sepanjang saya menjalani praktikum, saya dapati kaunselor pembimbing saya banyak membimbing saya dari segi pengurusan dan pentadbiran. Selain itu, beliau tidak lupa dalam memberikan sedikit ilmu dan pengalaman beliau dalam aspek pengurusan aktiviti dan program. Walaupun hanya 5 tahun bertugas di sekolah tersebut, beliau banyak membimbing saya dalam membentuk saya sebagai seorang kaunselor pada masa akan datang.

Dari aspek perancangan aktiviti dan program, saya banyak dibimbing oleh beliau bagaimana cara merancang serta melaksanakan program di sekolah. Pertama kalinya di sekolah tersebut, saya diberikan tugas mengendalikan satu program kepimpinan di mana pengawas dan ketua serta penolong tingkatan sebagai sasaran peserta. Jangkaan dan harapan yang tinggi diletakkan ke atas saya dari pihak kelab pengawas supaya saya mengadakan program ini. Walau bagaimanapun, saya hanya mampu mengendalikan pengawas sahaja kerana sekiranya peserta terlalu ramai, saya takut tidak mampu mengendalikan program ini. Akhirnya saya membuat keputusan dengan hanya menjadikan sasaran pengawas tingkatan 2-5 sebagai peserta. Di sinilah saya dapat pengalaman mengendalikan program di sekolah. Semuanya dirancang oleh saya, saya sebagai pengarah program, setiausaha, bendahari, AJK makanan dan lain-lain. Saya yang menguruskan semuanya dari awal perancangan, melaksanakan, mengawalselia dan menilai program tersebut, serta mendokumentasikan hasil program tersebut. Dalam menempuhi cabaran ini, saya mendapat kekuatan dari semangat kaunselor pembimbing saya. Dia yang banyak membantu saya dan banyak memberi tunjuk ajar bagaimana ingin mendapatkan sumber kewangan, menguruskan sehinggalah akhir program tersebut.

Saya sedar bahawa pembelajaran yang saya perolehi di UPSI masih tidak cukup kerana saya di sini banyak didedahkan dengan pembelajaran secara teori sahaja. Saya hanya belajar, mendengar, memahami dan seterusnya menjawab soalan peperiksaan akhir semester. Saya tidak didedahkan dengan persekitaran yang sebenar. Apabila saya ke sekolah menjalani internship kaunseling, saya sedar ia amat jauh berbeza dengan apa yang saya lalui di UPSI mahupun di sekolah semasa saya menjadi seorang pelajar.  Apa yang boleh saya katakan praktikum menterjemahkan segala ilmu teoritikal yang diperolehi di bilik-bilik kuliah. Semasa praktikum, saya akan mempraktikkan bagaimana merancang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dengan mencukupkan jam kredit, melaksanakan perkhidmatan, membuat rekod harian, catatan refleksi serta menampilkan kemahiran profesionalisme seorang kaunselor.

Secara umumnya, bagi saya sendiri, bimbingan guru pembimbing lebih berkesan terhadap diri saya disebabkan beliau sentiasa berasa di samping saya iaitu berkongsi bilik kaunseling yang sama serta bidang yang sama. Cuma yang menentukan perbezaan kami adalah saya merupakan bakal kaunselor, manakala beliau adalah seorang kaunselor yang sudah bertapak di sekolah dengan melalui pelbagai pengalaman sebagai seorang kaunselor pelajar. Beliau dapat memantau, mencerap, menyelia, menegur, memberi pandangan malah menunjuk cara kepada saya dan rakan pada kekerapan yang lebih tinggi dan jangka masa yang lebih lama.

Dari aspek perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok, kaunselor pembimbing saya banyak membantu apabila saya memerlukan klien untuk mengadakan sesi kaunseling. Walaupun saya menggunakan kaedah mengedarkan brochure dari kelas ke kelas, namun ia tidak mendapat sambutan mungkin kerana sikap pelajar yang tidak mengambil peduli dan tidak mengambil endah tentang kaunseling. Beliau memberi sedikit tips iaitu dengan menarik perhatian pelajar apabila mengadakan bimbingan kelompok dalam kelas. Selain itu, saya juga diberi senarai nama pelajar ponteng oleh ketua kaunselor. Dari sinilah saya boleh mendapatkan ramai klien untuk mencukupkan jam kredit sesi kaunseling. Saya dapat katakan, beliau bukan sahaja membimbing saya, malah banyak membantu saya yang masih kurang ilmu dalam kaunseling walaupun sudah hampir 4 tahun saya belajar di UPSI. Di samping itu, penyeliaan sesi kaunseling individu dan kelompok juga dijalankan oleh kaunselor pembimbing terhadap saya. Banyak komen, teguran dan panduan telah diberikan kepada saya terutamanya dalam membuat sesi kaunseling agar matlamat kaunseling untuk membantu klien tercapai. Penggunaan teori sangat ditekankan dan perlu diperbaiki lagi, itu adalah antara ulasan yang diterima. Semasa praktikum inilah merupakan peluang menimba ilmu dan memperkemaskan lagi teori serta kemahiran saya dalam menjalankan sesi kaunseling individu mahupun kelompok.

3. Bagaimana pembentangan rakan anda penting berdasarkan dunia kaunseling?
Dalam dunia kaunseling, secara terang sudah dinyatakan profesionalisme dalam bidang ini amat mulia. Dalam agama Islam sendiri pun, Rasulullah S.A.W adalah seorang ketua kumpulan. Pada waktu yang sama baginda juga seorang kaunselor. Baginda memberi bantuan kaunseling kepada anak-anak buahnya yang mengalami tekanan emosi. Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan peristiwa yang menunjukkan teknik-teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau memberi kaunseling kepada anak-anak buahnya. Nabi Muhammad adalah seorang ketua kumpulan yang mempunyai beribu-ribu anggota. Banyak anggota kumpulan baginda yang terdiri daripada individu-individu yang lemah imannya, kurang elok akhlaknya dan cetek ilmunya. Malah banyak orang yang masuk dalam kumpulan baginda adalah mereka yang masih melakukan pelbagai jenayah dan maksiat kerana beliau mengamalkan dasar pintu terbuka dan tanpa pilih kasih. Jadi, sesiapa sahaja yang mahu masuk menjadi anggota kumpulannya semuanya baaginda terima dengan tanpa apa-apa syarat.

Berdasarkan bukti serta pernyataan di atas, kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik untuk klien. Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam meghasilkan perubahan diri.

Perhubungan kaunseling tidak dapat dipisahkan daripada ciri-ciri personaliti kaunselor itu sendiri, iaitu mesra, jujur, menerima tanpa syarat dan berempati. Perbincangan adalah pada diri klien dan peranannya dalam permasalahannya, bukan masalahnya. Kaunseling merupakan satu proses pembelajaran semula. Pembelajaran semula berlaku melalui perkongsian cerita atau penglahiran perasaan, mendapat pengetahuan atau maklumat baru hasil daripada interaksi bersama kaunselor, mendapat kemahiran baru melalui contoh model daripada kaunselor dan melalui kaedah main peranan.
Tajuk yang dibentangkan oleh rakan saya ini menjuruskan kepada peranan kaunselor itu sendiri dalam membimbing guru praktikal. Tanggungjawab yang dimainkan oleh kaunselor pembimbing itu sendiri memberi pengaruh yang kuat terhadap kami kerana mereka merupakan role model dalam pembentukan personaliti kaunselor pelatih sebagai seorang guru. Kaunselor pembimbing bukan sahaja memainkan peranan dalam memberi bimbingan dalam perlaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling malah membimbing kaunselor pelatih dalam meningkatkan profesionalisme keguruan kaunselor pelatih bagi menyediakan bakal kaunselor pelatih yang akan menjadi seorang kaunselor profesional kelas pertama.


4. Apa isu dan masalah yang wujud dalam pembentangan tersebut?
Saya dapati terdapat beberapa masalah dan isu yang timbul dalam tajuk yang dibincangkan ini. Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah kriteria-kriteria yang perlu ada pada diri seseorang kaunselor pembimbing itu sendiri. Kualiti yang perlu ada dalam diri seseorang kaunselor pembimbing perlu dititikberatkan kerana kaunselor itulah yang akan membimbing pelajar-pelajar latihan praktikum. Dalam isu yang dibawa oleh rakan saya ini, bagi pandangan beliau kaunselor pembimbing beliau agak kurang kreatif dari aspek, kurang inisiatif dalam mempelbagaikan program, kurang mendekati pelajar serta kurang tegas dalam membimbing.

Hal ini akan menjejaskan hasil bakal guru kaunselor yang akan lahir pada masa hadapan. Ia menjuruskan kepada tahap profesionalisme dalam kalangan kaunselor. Tahap profesionalisme dalam kalangan kaunselor masih belum mantap lagi terutamanya kaunselor yang baru dilantik. Ini berlaku kerana semasa menjalani pembelajaran di institusi pendidikan, bakal-bakal kaunselor ini hanya mendalami dalam mengenai konsep dan teori sahaja. Walaupun mereka turut menjalani latihan praktikum, namun masih terdapat kaunselor yang gagal menguasai sepenuhnya bidang tugas perkhidmatan bimbingan dan kaunseling masing-masing lantaran kurangnya bimbingan dari kaunselor pembimbing.

 5. Bagaimana anda ingin mengatasi masalah-masalah itu?
Pengalaman praktikum merupakan elemen penting dalam latihan perguruan kerana dapat memberi pengalaman sebenar mengenai bidang tugas guru tersebut. Dalam isu ini, saya fikir apa yang penting ialah bimbingan dari kaunselor yang berpengalaman amat signifikan dalam meningkatkan tahap kualiti seorang kaunselor pelatih. Kaunselor pembimbing perlu mempunyai ciri-ciri kreatif dalam aspek keceriaan.

Oleh itu, kerajaan perlulah mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum, dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan melalui langkah tersebut.

a)      Kursus Perguruan Lepasan Ijazah akan dilanjutkan dari satu tahun ke satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih:
b)      Jabatan Pelajaran Negeri akan menyelaras penempatan guru pelatih di sekolah yang layak melaksanakan program ini dan memantau pematuhan oleh guru pembimbing;
c)      Guru berpengalaman akan diberikan kursus pembimbing untuk meningkatkan kebolehan membimbing mereka; dan
d)      Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing.


6.   Apa ilmu-ilmu baru yang anda peroleh?
Antara ilmu baru yang dapat saya peroleh adalah seseorang kaunselor itu boleh juga mengamalkan amalan kaunseling daripada perspektif Islam. Kaunselor pembimbing mereka selalu mengajar mereka bagaimana cara untuk membuat amalan kaunseling berdasarkan keislaman. Kaunselor pembimbing tersebut sentiasa memberi bimbingan dan penasihatan berkaitan motivasi seperti memberi nasihat dan semangat serta dorongan, menanamkan sikap tidak pernah putus asa dan pergaulan dengan orang dewasa mahupun ibu bapa. Kaunselor pembimbing memberi idea kepada kaunselor pelatih untuk bercakap dengan pelajar mengenai pelbagai topik. Selain itu, kaunselor pembimbing membimbing dari sudut pemakaian di sekolah, memberi nasihat dalam aspek tingkah laku dan pembawaan diri di sekolah dan sentiasa mengingatkan untuk menjaga etika seorang kaunselor iaitu kerahsiaan klien.


7. Bagaimana anda dapat menintegrasikan ilmu yang dibentangkan oleh rakan anda? Berikan hujah anda berdasarkan fakta keilmuan.
Dalam mengejar arus pemodenan sesebuah negara yang sedang pesat mengalami perubahan dan pembangunan bidang ekonomi, politik, agama, kemasyarakatan dan kemanusiaan pembangunan modal insan yang merupakan aset paling berharga bagi sesebuah negara dititikberatkan di Malaysia. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang tahun 2020.

Kepentingan peranan guru tidak boleh dinafikan, guru bukan saja menjadi pendidik dan pengasas kepada pengetahuan murid-murid tetapi juga menjadi pemimpin, penasihat dan agen perubahan dalam masyarakat. Bidang perguruan tidak terkecuali dalam menerima bahang kepesatan pembanguanan negara. Guru di seluruh negara perlu menghayati dan menerima perubahan dan transformasi yang sedang dialami oleh setiap lapisan warganegara masa kini. Perubahan ini merupakan satu cabaran bagi semua guru dan bakal guru. Guru perlu berusaha meningkatkan profesionalisme sebagai guru yang berwibawa dan berketerampilan bagi membentuk anak bangsa untuk membangunkan negara.

“Standard Guru Malaysia menetapkan pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa”. YB Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Md Dom (Perutusan Hari Guru Tahun 2010)

Dalam menghadapi cabaran ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubalkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP) yang merupakan pelan pelaksanaan dan telah dilancarkan oleh Y. A. B Perdana Menteria Malaysia pada 16 Januari 2007. Pelan ini menggariskan 6 teras utama iaitu i) membina negara bangsa, ii) membangun modal insan, iii) memperkasakan sekolah kebangsaan, iv) merapatkan jurang pendidikan, v) memartabatkan profesion keguruan dan vi) melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan sedia ada. Dalam melaksanakan teras ke empat Kementerian Pelajaran Malaysia memberi tumpuan kepada fokus dan strategi pelaksanaan iaitu i) menambah baik sistem pemilihan calon guru dan ii) memantapkan latihan keguruan.

Setiap kursus perguruan yang dilaksanakan di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta latihan mengajar merupakan sebahagian daripada syarat bergraduat. Program latihan mengajar bermatlamat untuk melaksanakan amalan latihan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dalam situasi sebenar. Program ini memberi peluang kepada guru pelatih mendekati dan mempelajari situasi sebenar pengajaran dan pembelajaran sebelum menjadi guru permulaan di sekolah.

Program latihan mengajar juga menyediakan peluang kepada guru pelatih mengaplikasikan ilmu yang diperolehi sepanjang belajar di dalam bilik kuliah di institusi-institusi pengajian tinggi. Bagi menentukan latihan mengajar berjalan dengan teratur dan berkesan satu mekanisma yang sistematik dilaksanakan untuk pihak pentadbiran latihan mengajar, penyelia, guru pembimbing dan pentadbir sekolah bekerjasama dalam membentuk persefahaman untuk perkembangan dan kepentingan kemahiran profesional guru pelatih.

Guru pembimbing terdiri daripada guru-guru terlatih yang dikenal pasti untuk membantu guru pelatih menjalani latihan mengajar di sekolah mereka. Guru pembimbing adalah rakan kongsi dalam menjayakan program latihan mengajar, yang memberi sumbangan dalam bentuk memberi nasihat dan bimbingan secara interaktif, formal dan informal secara berterusan kepada siswazah-siswazah jurusan pendidikan. Guru-guru terlatih di sekolah adalah pengamal pengajaran yang arif dengan situasi pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum di sekolah mereka. Guru pembimbing
mampu memberi tunjuk ajar kepada guru pelatih menghadapi masalah-masalah sebenar di bilik darjah dan sekolah. Guru pembimbing lebih mahir tentang suasana dan budaya sekolah dan dapat membantu guru pelatih menyesuaikan diri dalam masa yang singkat. Guru pembimbing mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh guru pelatih.

Menurut (Jamaluddin et al., 2006), peranan yang dimainkan oleh guru pembimbing dalam program latihan mengajar amat besar dan penting kerana pengaruh mereka yang kuat terhadap guru pelatih. Mereka dianggap pakar oleh guru pelatih dan menjadi rol model dalam pembentukan personaliti guru pelatih sebagai guru. Program latihan mengajar yang dilaksanakan berlandaskan kerjasama dan kolobrasi institusi pengajian tinggi dan pihak sekolah dapat memberi gambaran kepada guru pelatih situasi sebenar sekolah dengan andaian bakal guru ini dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekolah apabila kali pertama bertugas kelak sebagai guru permulaan. Sehubungan dengan itu, program latihan mengajar dapat mengatasi masalah kejutan realiti tugas sebenar seorang guru kelak.
           
Peranan yang dimainkan oleh guru pembimbing memberi pengaruh yang kuat kepada guru pelatih kerana mereka menjadi rol model dalam pembentukan personaliti guru pelatih sebagai seorang guru. Guru pembimbing bukan saja memainkan peranan dalam memberi bimbingan dalam pengajaran dan pembelajaran malah membimbing guru pelatih dalam meningkatkan profesionalisme keguruan guru pelatih bagi menyediakan bakal guru yang akan menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama. Bagi merealisasikan hasrat ini semua pihak harus menggalas tugas tidak berbelah bagi untuk melahirkan bakal guru berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokartik, progresif dan berdisiplin.


Terima Kasih Kerana Sudi Membaca,Sila Berikan Komen Serta LIKE (:

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

 
Template Edited By H Nurani's Sketch ♥ All Rights Reserved © 18 Sept 2013