REFLEKSI PERTAMA
TAJUK : EKSPEKTASI AWAL SEBELUM MEMULAKAN INTERNSHIP KAUNSELING OLEH : NORFATIHA BT RUSDI
1. Apa
yang anda faham tentang pembentangan rakan anda?
Melalui pembentangan yang dilakukan oleh rakan saya pada
hari rabu yang lepas, secara keseluruhannya saya lebih memahami bahawa setiap
individu akan mempunyai pelbagai jangkaan serta harapan sekiranya terdapat
sesuatu tugasan atau kerja yang perlu dilaksanakan. Begitu juga dengan rakan
saya ini, beliau akan memikirkan pelbagai perkara sebelum menghadapi situasi
yang sebenar iaitu menjalani internship kaunseling di sekolah menengah. Berdasarkan pembentangan ini juga, beliau
menyatakan mengenai pembelajaran secara mengalami di persekitaran sebenar
adalah sebahagian daripada cara pembelajaran yang diamalkan dalam sistem
latihan profesion kaunselor di Malaysia.
Harapan atau jangkaan yang diletakkan oleh seseorang
individu kadangkala tidak seperti yang diharapkan. Ada kalanya jangkaan atau
harapan yang positif akan berubah menjadi negatif, dan begitu juga sebaliknya.
Di sini, penting bagi seseorang individu bersedia untuk apa jua kemungkinan
yang bakal berlaku pada masa akan datang. Banyak aspek lain yang diambil kira
oleh seseorang kaunselor pelatih contohnya pihak sekolah, guru-guru, kaunselor,
pelajar sekolah serta staf sekolah berdasarkan tajuk ini. Ekspektasi yang
dinyatakan sama ada positif dan negatif. Kaunselor pelatih akan meletakkan satu
pemikiran bagaimana untuk berinteraksi dengan pihak sekolah, cara berkomunikasi
dengan pihak sekolah dan penerimaan sekolah terhadap bidang kaunseling.
2. Apa
kaitannya dengan profesion anda sebagai kaunselor?
Berdasarkan pembentangan ini, saya dapat rumuskan ia amat
berkait rapat dengan realiti seorang kaunselor di mana seorang kaunselor perlu
bersedia menghadapi apa jua perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Saya perlu
bersedia menghadapi semua kemungkinan sebelum menjadi seorang kaunselor
sekolah. Walaupun saya hanya pernah menjadi seorang kaunselor pelatih di SMK
Sungai Bayor, Selama, di sinilah saya menimba pelbagai ilmu dan pengalaman yang
amat berharga untuk menjadi bekalan kepada saya pada masa akan datang apabila
menjadi seorang kaunselor sekolah. Masanya akan tiba apabila saya bakal diberi
penempatan (posting) setelah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berdasarkan
tajuk ini, ekspektasi yang dinyatakan melibatkan pemikiran, emosi serta
perasaan individu terhadap sesuatu perkara yang belum dihadapi oleh individu.
Sebelum saya menjejakkan kaki ke sekolah SMK Sungai
Bayor, terlalu banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya. Perkara penting
adalah penerimaan pihak sekolah terhadap saya dan rakan serta bagaimana layanan
yang akan diberikan kepada kami apabila kami ke sana nanti. Saya juga ada
terfikir bagaimana sikap atau layanan kaunselor pembimbing terhadap saya dan
rakan saya. Adakah beliau akan membantu saya dan rakan saya dalam bidang tugas
sebagai kaunselor? Bagaimana saya dan rakan ingin membina hubungan dengan
beliau? Sebelum saya menjalani internship kaunseling, saya ada bertanyakan
beberapa soalan yang penting kepada senior kaunseling. Banyak pesanan beliau
kepada kami supaya kami mengenali setiap seorang staf sekolah dari orang ‘office’ sehinggakan mak cik ‘cleaner’. Teguran senior saya bukan
sekadar untuk kepentingan kami sebagai kaunselor pelatih semata-mata, tetapi
hubungan yang dibina antara kami dengan staf sekolah akan memberi kesan positif
kepada kami sendiri.
Internship kaunseling ini adalah pertama kali dalam hidup
saya, kerana sebelum ini saya adalah pelajar namun apabila saya perlu menjalani
latihan internship kaunseling, saya terasa yang perlu menjalankan tanggungjawab
yang betul-betul besar dalam hidup saya. Walaupun sekadar bergelar kaunselor
pelatih namun tanggungjawab yang perlu saya jalankan ibarat seorang kaunselor
sebenar.
Saya hanya ingat kata-kata seorang guru saya ketika saya
masih belajar di tingkatan 4 dahulu, beliau pernah berkata kepada saya bahawa
kita perlu tempuhi juga apa pun rintangan atau halangan. Sekiranya kita tidak
mencuba, kita tidak akan dapat merasai pahit atau manisnya perkara itu. Di sini
saya dapat satu ilmu dan kesedaran di mana saya perlu tempuh cabaran ini
sebagai bekal ilmu kepada saya agar saya dapat pengalaman sebagai seorang
kaunselor pelatih.
3.
Bagaimana pembentangan rakan anda penting berdasarkan dunia kaunseling?
Sepanjang lapan semester saya mempelajari ilmu
kaunseling, saya mendapati pembentangan rakan saya ini meningkatkan lagi
pengetahuan sedia ada saya mengenai kaunseling. Kaunseling merupakan satu ilmu
yang amat luas walaupun ia merupakan satu bidang yang sudah lama diterokai oleh
tokoh-tokoh terkenal. Kaunseling juga amat kompleks untuk dihuraikan dalam satu
ayat atau perkataan secara ringkas. Bagi menjalankan tugas dalam bidang ini, ia
memerlukan seseorang yang pakar dalam bidang ini. Di dalam kehidupan seharian
kita, kita memerlukan orang untuk menolong kita menyelesaikan kesukaran yang
dihadapi atau mencapai matlamat hidup. Jarang sekali kita menghadapi sesuatu
permasalahan secara bersendirian. Terdapat ramai individu yang menolong
individu lain secara langsung dan secara tidak langsung.
Pada pendapat saya , pembentangan ini penting dalam
memberi gambaran awal seseorang kaunselor pelatih terhadap sekolah yang bakal
dijadikan tempat untuk membuat latihan sebagai seorang kaunselor.Hal ini kerana
, dengan gambaran awal tersebut kaunselor pelatih akan bersiap sedia menyediakan
diri dengan dugaan yang akan ditempuhi apabila berada di dalam setting sekolah.
Secara tidak langsung persiapan kaunselor itu lebih efisien dan kaedah-kaedah
intervensi yang berkesan juga telah diperkemaskan untuk berhadapan dengan
seribu satu ragam manusia. Rentetan itu , dengan adanya ekspektasi awal, saya
akan lebih bersedia dan tidak melakukan kesilapan untuk kali kedua.
Fungsi menolong di dalam kaunseling menawarkan banyak
cabaran, ganjaran dan peluang kepada sesiapa yang berminat menolong sesama manusia.
Pemahaman saya mengenai maksud menolong adalah menyediakan keadaan kepada
individu memenuhi keperluan mereka seperti keselamatan, kasih sayang dan
penghormatan, penghargaan kendiri, membuat keputusan dan perkembangan
kesempurnaan kendiri. Bagi saya, orang yang menolong perlulah mudah didekati
dan stabil dari segi psikoginya. Justeru itu, kualiti yang ada pada seorang
kaunselor sangatlah diperlukan untuk ia menjadi penolong di dalam perhubungan
menolong. Bagi saya sebagai seorang kaunselor mestilah dibekalkan dengan
kekuatan fizikal dan mental di mana dapat menghadapi apa jua rintangan yang
datang.
Di sini, saya amat menekankan kepada persediaan awal
seorang kaunselor apabila menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku
dalam profesion sebagai seorang kaunselor. Saya sebagai kaunselor perlu kuat
untuk anak-anak pelajar yang ada di hadapan saya. Yang pastinya sebagai seorang
kaunselor adalah mengatur gerak yang sesuai dalam bidang tugasnya. Hal ini
penting kerana kaunselor sekolah bakal menghadapi banyak persimpangan dalam
melaksanakan tugasnya.
Apa yang saya lakukan semasa menjalani latihan praktikum
adalah sebahagian persediaan untuk bergelar sebagai seorang kaunselor.
Persekitaran di luar memerlukan saya supaya lebih bersedia terutamanya apabila
berhadapan dengan masyarakat pelbagai peringkat.
4. Apa
isu dan masalah yang wujud dalam pembentangan tersebut?
Menurut pemahaman saya, terdapat beberapa masalah dan isu
yang timbul dalam tajuk ini. Antaranya ialah kerisauan yang ada dalam diri
rakan saya untuk membina rapport dengan warga sekolah. Apa yang difikirkan oleh
beliau terlalu negatif sehinggakan tiada unsur positif dalam harapannya
terhadap internship kaunseling. Isu ini biasa dibangkitkan oleh semua kaunselor
di mana kebanyakan guru dan pihak sekolah beranggapan bahawa kaunselor tidak
menjalankan tugas dan sering berada di bilik kaunseling.
Selain itu, beliau membangkitkan satu isu di mana beliau
terfikir mengenai pelajar di sekolah terbabit. Tambahan pula, sekolah di
pinggir bandar yang dimanipulasi oleh kaum India. Tanggapan negatif menguasai
diri beliau dengan mendiskriminasi golongan pelajar luar bandar yang penuh
dengan masalah disiplin.
5.
Bagaimana anda ingin mengatasi masalah-masalah itu?
Dalam menangani isu serta masalah yang timbul ini, saya
berharap agar semua bakal kaunselor perlu memahami bahawa kita semua merupakan
golongan yang terpilih menceburi bidang kaunseling di mana kita semua bertuah
mempelajari bidang ini. Profesion perhubungan menolong ini amat istimewa
berbanding bidang-bidang lain. Seharusnya kita sebagai kaunselor atau guru
bimbingan dan kaunseling perlu menanam sifat-sifat positif supaya hati,
pemikiran, perasaan serta emosi kita menjadi stabil dan ciri-ciri inilah perlu
ada dalam diri seorang kaunselor.
Sebagai seorang kaunselor juga, kita perlu ingat bahawa penerimaan
tanpa syarat itu penting sebagai asas tanggungjawab kaunselor terhadap klien. Seseorang
kaunselor tidak boleh menilai seorang klien. Itu pentingnya pengetahuan
pelbagai budaya dalam diri seorang kaunselor. Kaunselor hendaklah memahami dan
menghormati latar belakang klien.
Bagi
mengatasi masalah ini, seharusnya kaunselor pelatih perlu tetapkan di dalam
mindanya bahawa tidak semua sekolah dapat menerima kehadiran kaunselor dan
menerima sekolah tersebut seadanya tanpa harapan yang tinggi terhadap sekolah
tersebut.
6. Apa ilmu-ilmu
baru yang anda peroleh?
Daripada tajuk yang dikemukakan oleh rakan saya ini, ia
memberi peluang kepada saya mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai
keguruan secara reflektif dalam situasi sebenar di sekolah. Justeru itu, dalam
tempoh praktikum selama 5 bulan, beberapa perkara yang saya harapkan di
perolehi melalui latihan praktikum ini iaitu saya dapat memenuhi keperluan
syarat bergraduan yang telah ditetapkan dan pelajar wajib lulus latihan
praktikum sebelum menempuhi proses penempatan nanti. Sepanjang tempoh 5 bulan
ini, saya perlu melaksanakan sebaik mungkin latihan praktikum ini dengan
memenuhi segala perkara yang perlu dilakukan dan mengikuti syarat-syarat yang
ditetapkan oleh pihak UPSI.
Saya dapat merasai pengalaman sebagai seorang kaunselor
dan dapat mengaplikasikan bidang tugas kaunselor sebelum dilantik menjadi guru
nanti. Semasa menjalani latihan praktikum, saya mendapat pendedahan sebenar
menjadi guru kerana saya berada di UBK sekolah dan menjalankan perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling.
Saya juga berharap dapat mengaplikasikan antara teori dan
amali bagi melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang dipelajari
di UPSI untuk diaplikasikan di sekolah bersama pelajar. Ini kerana di UPSI saya
hanya mempelajari teori dan kaedah pengendalian sesi kaunseling sahaja dan
lebih kepada pembelajaran dan tidak dipraktikkan seperti apa yang dipelajari.
Ketika menjalani latihan praktikum, saya boleh menggunakan segala apa yang
telah saya pelajari dengan merasai situasi sebenar bersama pelajar di sekolah
nanti.
Saya juga berharap dapat mempelajari perkara baru
khususnya dalam bidang kaunseling dalam situasi sebenar. Di sekolah, saya perlu
mempraktikkan banyak perkara dalam perkhidmatan kaunseling antaranya ialah
kaunseling individu, kelompok, bimbingan individu serta bimbingan kelompok,
pengendalian aktiviti program dan lain-lain bidang tugas kaunselor. Dalam
perkara ini ia memerlukan cara pengendalian yang pelbagai mengikut prosedur
yang ditetapkan di samping kreativiti kaunselor pelatih asalkan ia tidak lari
dari objektif sebenar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Justeru itu, saya
dapat berhadapan dengan pelajar yang sebenar dan mendapat tunjuk ajar kaunselor
pembimbing membolehkan saya merasai pengalaman baru dan dapat memperbaiki
kelemahan yang timbul sebelum ini.
Selain itu, beberapa perkara yang diperolehi ialah
sebagai persediaan awal menghadapi tugas sebagai seorang kaunselor di sekolah
menengah seperti populasi di sekolah, perkembangan sedia ada kaunseling di
sekolah berkenaan, masalah-masalah yang terdapat di sekolah, apakah peranan
yang boleh dimainkan sebagai seorang kaunselor dan kesan kehadirannya sebagai
kaunselor di sekolah tersebut.
7.
Bagaimana anda dapat menintegrasikan ilmu yang dibentangkan oleh rakan anda?
Berikan hujah anda berdasarkan fakta keilmuan.
Saya berharap dapat menguasai kemahiran pemudahcara iaitu
saya dapat berinteraksi dengan semua pihak sekolah iaitu pihak pentadbir,
staf-staf sokongan, guru-guru serta pelajar-pelajar sebelum saya merasai alam
sebenar sebagai seorang kaunselor sekolah. Pendedahan awal ini mempunyai
kepentingan kepada saya kerana dapat memberi pengalaman berinteraksi dengan
kesemua pihak tersebut. Pendedahan awal ini membantu saya untuk berinteraksi
dengan pihak tersebut pada masa akan datang.