REFLEKSI KELIMA
ADAKAH ANDA MELIHAT KAUNSELOR ANDA MENJALANKAN TUGAS SEBAGAI KAUNSELOR
OLEH: HAFIZAH BINTI ABU BAKAR
1. Fahaman
tentang pembentangan
Peranan yang boleh
dimainkan sebagai seorang kaunselor mestilah berdasarkan pengetahuan bimbingan
dan kaunseling yang tepat supaya tugasnya mampu menangani masalah di sekolah
dan berjaya menghidupkan fungsi sebenar bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Berdasarkan pengalaman yang saya perolehi semasa menjalani internship
kaunseling pada semester lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Bayor,
Selama, Perak, saya mendapati kaunselor sekolah memainkan peranan yang penting
dalam proses pendidikan yang terancang dan berterusan. Kaunselor berperanan
sebagai fasilitator kepada klien dalam menangani isu dan masalah yang dihadapi
dengan menghormati martabat diri, nilai dan keupayaannya.
Guru bimbingan dan
kaunseling atau kaunselor di sekolah hendaklah menjalankan tugasnya dengan
penuh tanggungjawab, objektif dan jujur selaras dengan profesion kaunseling.
Terdapat tujuh bidang tugas kaunselor di sekolah iaitu akademik, kerjaya,
psikososial dan kesejahteraan mental, keibubapaan, pembangunan diri, pendidikan
pencegahan dadah serta pengurusan dan pentadbiran.
Melalui persoalan
yang dikemukakan ini, saya mendapati kaunselor sekolah saya secara
keseluruhannya menjalankan tugas sebagai kaunselor sekolah. Dalam erti kata
lain, beliau sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan
dan kemahiran dalam bidang profesionnya walaupun seringkali terdapat halangan
dalam usahanya. Perkara yang paling ketara pernah saya lihat ialah tugas
pentadbiran sekolah yang terlalu banyak perlu beliau lakukan selain tugas
sebagai kaunselor. Peranan kaunselor ibarat ‘super hero’ bagi kebanyakan tugas
yang tidak mampu dilakukan oleh guru biasa. Nyatakan saja apa yang perlu
dilakukan, dari menyediakan kertas kerja, mengurus pelajar, membawa dan
menyusun alatan, pengisian program dan lain-lain tugas.
Melalui
pembentangan saya ini, saya mengemukakan serta menerangkan mengenai 7 bidang
tugas guru bimbingan dan kaunseling di sekolah dengan terperinci serta
berkongsi pengalaman saya di sekolah. Dalam skop bidang akademik, kaunselor
sekolah saya menjalankan tugas dengan menggunakan kaedah bimbingan kelompok,
bimbingan individu, mengadakan bengkel, kelab pembimbing rakan sebaya, lawatan,
ceramah, pameran dan sebagainya.
Dari pemerhatian
saya, beliau begitu komited dalam menjalankan bimbingan kelompok dalam setiap
kelas ketika waktu relief kelas. Jadual pengurusan waktu disediakan dan
diedarkan kepada setiap murid untuk diisi, dan beliau akan membimbing murid.
Beliau berjaya merancang, menyediakan dan menguruskan apa jua perkara berkaitan
dengan bidang akademik. Selain itu, lawatan turut diadakan sekiranya terdapat
program yang dijalankan di luar sekolah. Misalnya, program lawatan ke Karnival
Jom Masuk U yang diadakan di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini. Beliau
tekun dalam menyiapkan kertas kerja untuk mengadakan lawatan ini yang dibuka
penyertaannya kepada pelajar tingkatan empat dan lima. Hampir semua perancangan
merangkumi perancangan kertas kerja, melaksana, mengawalselia dan menilai
program dan aktiviti untuk menyedia dan mendedahkan murid kepada peluang
pengajian dan kerjaya. Pada awal kedatangan saya ke sekolah untuk menjalani
internship kaunseling, saya agak terkejut dengan kerja-kerja yang dijalankan
oleh beliau. Saya merasakan saya tidak mampu menjalankan tugas sebagai seorang
kaunselor ini.
2. Perkaitan
dengan profesion saya sebagai kaunselor
Pengalaman sebagai seorang kaunselor pelatih di sekolah benar-benar
mengajar saya mengenai peranan kaunselor yang perlu dijalankan oleh kaunselor
sekolah. Kadang-kadang saya berasa agak letih dengan tugas-tugas yang diberikan
sepanjang saya menjalani latihan praktikum. Semakin hari semakin berlambak, namun saya tetap tidak mengalah dan berusaha
untuk menjayakan tugas-tugas yang diberikan kepada saya. Sebagai kaunselor
pelatih, saya perlu menjalani internship selama 16 minggu dan perlu bertugas di
sekolah selama sekurang-kurangnya 560 jam bersemuka. Jumlah ini termasuklah
perkhidmatan sesi kaunseling individu, kelompok, sesi bimbingan individu,
kelompok, program serta masa untuk pengurusan dan pentadbiran.
Seperti kaunselor tetap juga, saya perlu menjalankan
tugas sebagai seorang kaunselor berdasarkan 7 bidang tugas guru bimbingan dan
kaunseling sekolah menengah. Dalam bidang akademik, saya banyak menjalankan
sesi kaunseling individu/kelompok dan bimbingan individu/kelompok. Saya
menggunakan pendekatan mengedarkan brochure serta pamplet mengenai perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling kepada setiap kelas. Dengan demikian, murid-murid
dapat mengenali kami serta perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Bukan
itu sahaja, saya kerap kali mengadakan bimbingan individu kepada pelajar yang
datang berjumpa saya secara sukarela dan kebiasaannya mereka menghadapi masalah
dalam akademik.
Kebiasaannya, pada awal pagi di sekolah, senarai nama
guru-guru akan disenaraikan untuk relief kelas sekiranya terdapat guru yang
tidak hadir dan ada urusan kerja di luar. Setiap pagi juga lah saya akan
menjenguk di tingkat bawah berhampiran bilik guru untuk melihat jadual relief
saya. Waktu yang diperuntukkan untuk saya menggantikan kelas kebiasaannya satu
masa dan kadang-kadang dua masa. Walaupun sering mendapat kelas hujung, namun
saya tetap menjalankan sesi bimbingan kelompok dengan menggunakan modul-modul
kaunseling yang sesuai dengan tahap kematangan pelajar. Walau bagaimanapun, ia
amat sukar bagi saya mengendalikan pelajar kelas akhir kerana terdapat halangan
dari segi pemahaman mereka. Kadang-kadang mereka juga sukar dikawal kerana
sikap mereka yang suka membuat bising di dalam kelas. Ia merupakan satu cabaran
terbesar dalam hidup saya apabila pelajar-pelajar kurang menghormati saya
sebagai guru pelatih.
Dalam aspek aktiviti dan pengurusan program, saya
dibimbing dengan baik oleh kaunselor pembimbing saya. Program pertama yang
dijalankan oleh saya adalah kursus kepimpinan jati diri pengawas. Di sinilah
juga saya merasai pengalaman menjalankan program hasil usaha saya sendiri,
semua jawatan saya pikul. Seterusnya, saya juga banyak membantu melaksanakan
program yang dianjurkan oleh kaunselor sekolah saya. Bukan hanya melaksanakan
program-program terbabit, namun saya juga turut menjayakan program-program ini.
Saya diamanahkan menjadi penceramah bagi slot pelan tindakan bagi program untuk
pelajar kelas KAA. Saya merasakan ia agak sukar kerana saya perlu memberi satu
kemahiran yang baru kepada pelajar. Selain itu, saya juga menjadi penceramah bagi
program untuk pelajar kelas sastera tingkatan 5. Saya menggunakan modul
subconscience dan merupakan pengalaman pertama saya mengendalikan modul sehebat
ini.
3.
Kepentingan pembentangan berdasarkan dunia kaunseling
Kaunselor sekolah berperanan besar dalam agenda
pendidikan negara. Kaunselor sekolah dilihat sebagai salah satu agen utama
dalam melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan harmonis seperti yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Perlantikan kaunselor sepenuh masa
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sudah cukup membuktikan bahawa peranan
kaunselor sekolah tidak boleh dipandang ringan sekiranya negara ingin
menjadikan Wawasan 2020 suatu realiti. Lantaran itu, tahap profesionalisme
kaunselor sekolah perlu dititikberatkan memandangkan kaunselor sekolah perlu
bergerak seiring dengan kemajuan pendidikan dalam arus perkembangan teknologi
canggih, perubahan pesat sosio ekonomi dan pelbagai lagi. Kesemua ini menuntut
kaunselor sekolah supaya sentiasa memantapkan diri supaya tidak ketinggalan
dalam dunia pendidikan. Dalam usaha melahirkan kaunselor yang profesional dan
mahir, beberapa perkara perlu diambil kira. Antara ialah latihan kaunseling
yang mantap, sahsiah dan peribadi kaunselor yang unggul.
Setiap kaunselor perlu mengetahui tugas dan peranannya,
malah bukan sahaja perlu mengetahui tetapi perlu menjalankan dengan sebaik
mungkin tugas yang diamanahkan. Walaupun ia bukan mata pelajaran yang diajar di
dalam kelas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan lain-lain,
namun bimbingan dan kaunseling merupakan salah satu proses pendidikan yang
dirancang dan berterusan untuk setiap penuntut. Setiap penuntut terutamanya
pelajar mempunyai peluang bagi mendapat pertolongan tanpa mengira latar
belakangnya.
Walaupun saya tidak dapat mengajar mata pelajaran seperti
apa yang saya cita-citakan sejak kecil lagi, namun saya bangga dapat menjadi
seorang guru bimbingan dan kaunseling yang bakal mendidik anak-anak murid saya
apabila mereka memerlukan pertolongan bagi perkembangan potensi dan kebolehan
mereka.
4. Apa
isu dan masalah yang wujud dalam pembentangan tersebut?
Masalah utama yang timbul berdasarkan tajuk yang
dibentangkan oleh saya ini adalah mengenai tugas dan peranan kaunselor itu
sendiri. Ia merujuk bagaimana seorang kaunselor mengendalikan tugasnya
sekiranya di luar kepakarannya. Tidak semestinya apabila bergelar seorang
kaunselor semuanya kaunselor itu benar-benar pakar dalam kesemua 7 bidang tugas
kaunselor di sekolah. Even di
universiti sekalipun, terdapat pensyarah yang pakar dalam pengukuran dan
pengujian dalam kaunseling, ada juga yang pakar dalam teori kaunseling, selain
itu ada yang pakar dalam kaunseling keibubapaan dan lain-lain.
Pada masa sekarang,
apa yang saya dengar, sesetengah pentadbir sekolah tidak menggalakkan
kaunselor menjemput pihak luar memberi ceramah motivasi, kemahiran belajar dan sebagainya.
Alasan mereka ialah di sekolah dah ada pakar buat apa jemput orang luar? Ya,
memang benar, tapi harus diingat dua perkara. Pertama, bukan semua kaunselor
mempunyai semua kepakaran dalam setiap 7 bidang kerja kaunselor iaitu akademik,
kerjaya, keibubapaan, masalah pelajar dan psikososial. Ini belum lagi termasuk
25 senarai tugas termasuk Sekolah Selamat dan Jati Diri! Ada kaunselor yang
mempunyai kebolehan dalam aspek kemahiran belajar seperti saya misalnya tetapi
agak lemah dalam aspek lain; misalnya dalam konteks kaunseling stress dan
pelajaran kemahiran berfikir kritis dan kreatif.
Ada kaunselor yang boleh membimbing dalam soal kerjaya
tetapi kurang kepakaran dalam konsultasi keluarga dan mentor mentee. Jadi
khidmat luar itu diperlukan juga. Jika kaunselor tidak dibenarkan menjemput
pihak luar, bagaimanakah pula dengan Ketua Bidang atau Ketua Panitia yang boleh
menjemput guru luar menyampaikan ceramah teknik menjawab? Aspek kedua pula
ialah pelajar di sekolah lebih tertarik dengan 'bomoh luar.' Biarpun di sekolah
itu misalnya, kaunselor (begitu juga guru pemeriksa kertas) tetapi mereka ada
kala bosan dengan pendekatan yang sama. Jadi harus juga kita menjemput pihak
luar bagi memenuhi aspirasi pelajar. Inilah sedikit sebanyak refleksi sepanjang
saya menjalani latihan praktikum. Sebagai contoh, satu program motivasi
kecemerlangan untuk pelajar PMR dan SPM, “Selangkah ke Puncak Jaya” diadakan di
sekolah praktikum saya. Ketua kaunselor sekolah telah menjemput seorang
penceramah luar. Di sinilah saya dapat lihat bahawa tarikan yang dibawa oleh
beliau dalam menarik perhatian pelajar mendengar ceramah yang disampaikan
berbanding dengan kaunselor sekolah sendiri. Pelajar-pelajar mungkin bosan
dengan pendekatan yang sama yang digunakan oleh kaunselor sekolah mereka
sendiri. Sebab itulah, penceramah luar yang datang memberi penangan yang
berkesan kepada pelajar.
Isu serta masalah yang saya sendiri alami adalah dari
pengamatan saya sepanjang menjalani praktikum, orang lain terutamanya guru-guru
yang mengajar fikir menjadi kaunselor ini adalah satu tugas yang mudah. Oleh
kerana bilik guru berada di ground floor,
jadi mereka jarang naik ke tingkat tiga di mana disitulah terletaknya bilik
kaunseling. Mereka jarang melihat kaunselor, dan kemungkinan mereka fikir
kaunselor hanya berada di bilik kaunseling sekadar berpeluk tubuh dan tidak
menjalankan tugas dengan baik. Sebenarnya persepsi begini salah. Sebab
kaunseling bukan macam mereka fikirkan. Memang tidak dinafikan tugas kaunselor
ni mudah, tetapi itu dari segi luaran semata-mata. Dari segi dalaman, ianya
nampak sukar. Berhadapan dengan pelbagai masalah yang diajukan oleh pelajar
sudah cukup membuatkan saya sukar tidur malam. Kalau tidur pun, tidur dengan
tidak tenteram.
Tugas sebagai seorang kaunselor sememangnya banyak
cabaran. Kita akan berhadapan dengan berbagai-bagai jenis masalah yang akan
dirujuk kepada kita. Itu baru masalah belum lagi cerita soal pelajar yang ingin
mendapatkan bimbingan kerjaya atau bimbingan untuk melanjutkan pelajaran ke IPT
kerana ia memerlukan saya mengetahui fakta mengenai peluang-peluang kerjaya
serta syarat-syarat kelayakan untuk masuk ke IPT. Itu belum ditambah lagi
dengan karenah pelajar-pelajar yang tidak bagi kerjasama ketika sesi kaunseling
terutamanya sesi kaunseling kelompok. Bagi kebanyakan pelajar yang sukar bagi
kerjasama juga perlu memerlukan teknik dan strategi yang berkesan bagi
membuatkan mereka bagi kerjasama ketika sesi dijalankan.
5.
Bagaimana anda ingin mengatasi masalah-masalah itu?
Mengenai tugas serta peranan di luar bidang kepakaran
kaunselor sememangnya merupakan salah satu isu yang masih boleh diatasi dan
masih belum dibangkitkan sebagai salah satu masalah yang besar. Hal ini kerana
kebiasaannya kaunselor yang hebat sekalipun akan menjemput kaunselor luar untuk
mengadakan program bersama di sekolah.
Masalah kedua ialah mengenai sebahagiaan warga sekolah
terutamanya guru-guru menganggap kaunselor tidak menjalankan tugas dan peranan
sebagai kaunselor. Bagi mengatasi masalah ini, pihak-pihak yang berwajib
perlulah bekerjasama memantapkan lagi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di
sekolah. Sesuatu perkara berlaku nampak
sekadar di luaran namun di dalamnya sesiapa pun tidak akan tahu dan sesuatu
perkara yang berlaku mesti ada punca yang bermula dari pucuk pangkalnya. Mungkin
perkara ini berlaku kerana perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah
tidak mendapat sokongan serta peruntukan daripada pihak sekolah, ia seterusnya
menyebabkan kaunselor itu sendiri tidak berperanan sebagai seorang kaunselor.
Daripada penerangan di atas, saya menerangkan mengenai
pengetua dan guru-guru. Walau bagaimanapun, kaunselor itu sendiri juga perlu
melaksanakan tindakan supaya masalah ini dapat diatasi. Kaunselor perlulah
mengadakan hubungan yang lebih erat dengan ibu bapa atau penjaga pelajar dengan
tujuan untuk bekerjasama dan berbincang mengenai perkembangan dan kemajuan para
pelajar. Selain itu, kaunselor menerangkan mengenai program bimbingan sekolah
kepada ibu bapa dan penjaga serta membiasakan mereka dengan khidmat bimbingan
yang disediakan. Bertitik tolak di sinilah, kaunselor boleh melibatkan ibu bapa
dan penjaga dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kakitangan UBK
sekolah.
Di samping itu, kaunselor boleh juga bekerjasama dengan
semua ahli kakitangan akademik sekolah dengan menyediakan maklumat tertentu
untuk penerangan dan rujukan seperti mengadakan perbincangan yang boleh membantu
guru-guru supaya lebih memahami lagi sikap dan sifat-sifat individu para
pelajar.
6. Apa ilmu-ilmu
baru yang anda peroleh?
Saya dapat merasai pengalaman sebagai seorang kaunselor
dan dapat mengaplikasikan bidang tugas kaunselor sebelum dilantik menjadi guru
nanti. Semasa menjalani latihan praktikum, saya mendapat pendedahan sebenar
menjadi guru kerana saya berada di UBK sekolah dan menjalankan perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling.
Saya juga berharap dapat mengaplikasikan antara teori dan
amali bagi melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang dipelajari
di UPSI untuk diaplikasikan di sekolah bersama pelajar. Ini kerana di UPSI saya
hanya mempelajari teori dan kaedah pengendalian sesi kaunseling sahaja dan
lebih kepada pembelajaran dan tidak dipraktikkan seperti apa yang dipelajari.
Ketika menjalani latihan praktikum, saya menggunakan segala apa yang telah saya
pelajari dengan merasai situasi sebenar bersama pelajar di sekolah nanti.
Saya juga berharap dapat mempelajari perkara baru
khususnya dalam bidang kaunseling dalam situasi sebenar. Di sekolah, saya perlu
mempraktikkan banyak perkara dalam perkhidmatan kaunseling antaranya ialah
kaunseling individu, kelompok, bimbingan individu serta bimbingan kelompok,
pengendalian aktiviti program dan lain-lain bidang tugas kaunselor. Dalam
perkara ini ia memerlukan cara pengendalian yang pelbagai mengikut prosedur
yang ditetapkan di samping kreativiti kaunselor pelatih asalkan ia tidak lari
dari objektif sebenar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Justeru itu, saya
dapat berhadapan dengan pelajar yang sebenar dan mendapat tunjuk ajar kaunselor
pembimbing membolehkan saya merasai pengalaman baru dan dapat memperbaiki
kelemahan yang timbul sebelum ini.
7.
Bagaimana anda dapat menintegrasikan ilmu yang dibentangkan oleh rakan anda?
Berikan hujah anda berdasarkan fakta keilmuan.
Melalui pembentangan saya ini, saya dapat menggabung
jalinkan ilmu-ilmu baru yang diperoleh. Tanggungjawab kaunselor amat penting
bukan sahaja di sekolah malah di semua institusi pendidikan. Perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling di sekolah amat penting dewasa ini dalam era negara
kita mengalami banyak perubahan dalam masyarakat. Hasil dari perkembangan,
kemajuan dan pembangunan tersebut telah meninggalkan kesan sosio-psikologi yang
pelbagai dan kompleks. Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan banyak masalah
disiplin yang melanda pelajar sekolah. Masalah sosial seperti lepak, bohsia,
seks di luar perkahwinan, HIV/ AIDS merupakan masalah yang semakin berleluasa
berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Perkhidmatan kaunseling sekolah
diwujudkan dalam usaha manusia mencari jalan keluar agar individu menemui
kesejahteraan dan celik akal.
Perlantikan kaunselor sepenuh masa adalah wajar dilakukan
kerana ia merupakan satu usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia dalam
mewujudkan pelajar yang seimbang, berjiwa besar dan waja, berwawasan dan
berketrampilan. Kaunselor mempunyai peranan yang telah ditetapkan. Kaunselor
diperuntukkan tugas dan terdapat tujuh bidang tugas yang perlu dijalankan iaitu
akademik, kerjaya, psikososial dan kesejahteraan mental, keibubapaan,
pembangunan diri, pendidikan pencegahan dadah/rokok serta pengurusan dan
pentadbiran. Kaunselor sekolah juga perlu melaksanakan kaunseling individu dan
kelompok, merancang program-program motivasi, kemahiran belajar, kemahiran
mengurus diri, bengkel, seminar, lawatan kerjaya, PRS, kaunseling keibubapaan
dan lain-lain aktiviti yang difikirkan sesuai dengan budaya dan kehendak
masyarakat sekolah masing-masing.