Salah satu perkara wajib yang
diperintahkan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya adalah menutup aurat.
Kewajipan ini tidak ada bezanya dengan kewajipan menunaikan solat, puasa, zakat
dan haji. Malah di dalam Al-Quran, surah al-Nur ayat 31 dan surah al-Ahzab ayat
59, jelas menyatakan kewajipan menutup aurat untuk semua wanita Muslimah yang
telah sampai akil baligh.
Kini, CHn lihat semakin ramai wanita
diuji dengan menutup aurat yang sempurna. Ramai yang memakai tudung tetapi
masih dikira tidak menutup aurat kerana tidak menjaga beberapa bahagian kulit
yang terdedah terutamanya betis atau lengan tangan. Bentuk baju juga
kebanyakannya ketat sehingga menampakkan susuk tubuh.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT
dan umat Rasulullah S.A.W kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan hadis bagi
mendapatkan kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya dalam sesuatu
perkara itu.
Dalam perkara ini, Allah SWT
berfirman, “Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu
dan isteri-isteri orang mukmin semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab
mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar
dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab:59).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa
salah satu sasaran utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah
sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam daripada diganggu
dan disakiti. Islam tidak melarang sekiranya wanita Muslimah ingin menggunakan
fesyen terkini pada zaman moden ini.
Apa yang penting, pakaian tersebut
biarlah digunakan daripada kain yang tidak terlalu nipis dan reka bentuk
pakaian mestilah menutupi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan, tidak
terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan.
Di manakah kesilapan penutupan aurat
wanita hari ini?
Aurat itu adalah memakai tudung
sahaja
Bertudung tetapi berkemeja-T lengan
pendek
Bertudung tetapi baju kebarungnya
terbelah kainnya
Bertudung tetapi bajunya sendat,
sempit dan nipis.
Bertudung tetapi amat longgar dan
menayangkan jambul dan hujung rambutnya
Bertudung tetapi hanya memakainya di
pejabat sahaja.
Bertudung tetapi tudungnya
dilemparkan ke belakang leher.
Bertudung tetapi dengan tudung yang
amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa
menutup aurat itu adalah menutupi rambut sahaja. Sebenarnya ia tidak tepat sama
sekali. Asasnya boleh dilihat daripada firman Allah SWT. Ertinya, “Hendaklah
mereka itu melabuhkan tudungnya sehingga ke dadanya, dan janganlah kamu
mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir.” (an-Nur:31).
Setiap perempuan Islam wajib menutup
kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk leher, sehingga semua
tempat yang boleh membawa fitnah tertutup daripada perkara yang memungkinkan
dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.