“Sesiapa yang didapati mencuri barang-barang dalam istana
ini akan ditangkap! Diarahkan semua pengawal yang bertugas pada malam tadi
berkumpul” kata penasihat istana.
Suasana agak tegang. Pada malam sebelumnya, barang-barang
berharga telah didapati hilang dari istana. Penasihat istana mengesyaki salah
seorang daripada pengawal-pengawal istana yang berkawal pada malam itu
terlibat. Tetapi, siapakah orangnya? “Pihak istana memberi peluang kepada yang
terlibat untuk mengaku salah serta memulangkan semula barang yang dicuri.
Jangan lepaskan tawaran ini. Jika tidak, pencuri akan dihukum.”
Tiada respons.
“Baiklah, kalau begitu saya tiada pilihan lain. Saya
terpaksa menggunakan kayu hikmat ini” katanya sambil mengeluarkan beberapa
batang kayu yang lurus dan sama sahaja panjangnya.
Semua pengawal tersentak. Kayu hikmat? Timbul gerun di
hati masing-masing. Apakah itu benar-benar kayu hikmat?
“Setiap orang daripada kamu akan diberikan sebatang kayu
hikmat ini. Bawa pulang ke rumah masing-masing. Esok kamu serahkan semula kayu
hikmat ini. Kayu yang didapati lebih panjang sejengkal daripada yang lain
itulah tanda dialah pencuri yang kita cari!”
Masing-masing membawa pulang kayu hikmat. Si pencuri
begitu takut tertangkap dengan petunjuk kayu hikmat itu. Dia mula berfikir
mencari helah untuk melepaskan diri.
“Ya, aku akan potong kayu ini sejengkal. Jikalau kayu ini
memanjang sejengkal, maka ia akan sama panjang dengan panjang asal!” fikirnya.
Pada keesokan harinya, semua pengawal menyerahkan kayu
hikmat masing-masing. Setelah diperiksa, hanya satu kayu yang berbeza, namun
yang mengejutkan bukannya lebih panjang, tetapi lebih pendek sejengkal!
“Kamulah pencurinya!” kata penasihat istana dengan yakin.
“Tetapi tuan.....kayu hikmat itu bukannya makin panjang, tetapi
lebih pendek?”
“Ya, sebenarnya kayu ini kayu biasa sahaja. Ia tidak
boleh memanjang pun. Tetapi hari ini saya dapati batang kayu kamu lebih pendek
daripada yang lain. Kamu tahu kenapa?”
Pengawal yang bertanya itu diam.
Penasihat berkata, “Kerana kamu memotongnya dengan
anggapan jika kayu itu memanjang maka itu ukurannya akan jadi sama dengan
ukuran asal. Bukankah begitu?”
P/S: Kecerdikan sahaja tidak memadai untuk membina
kehidupan yang baik. Apa yang lebih penting ialah kejujuran. Kejujuranlah akan
menyelamatkan kita dalam menghadapi pancaroba kehidupan.