Home The Writer Counseling Life Motivation Islam

Ulasan Jurnal : Amalan Kaunseling Keluarga Dalam Agensi Kerajaan.








1.0 Pengenalan

Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana dapat juga kami menyiapkan tugasan ulasan jurnal secara berkumpulan bagi subjek Seminar Latihan Mengajar (KPR 3012) ini. Jutaan terima kasih kepada Dr. Ahmad Jazimin Bin Jusoh yang telah memberi peluang kepada kami dalam pemilihan tajuk yang dikehendaki bagi menyiapkan tugasan yang diberikan. Untuk tugasan ini, kami telah memilih tajuk Amalan kaunseling keluarga dalam agensi kerajaan: Kajian di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, hasil tulisan Zainuddin, Azlan dan Mohamed Sharif (2008), daripada Fakulti Pendidikan, Teknologi Malaya. Kami akan menamakan kesemua individu yang menulis kertas kerja ini sebagai penulis.


2.0 Kefahaman mengenai kertas kerja seminar keluarga

Apa yang kami faham mengenai kertas kerja ini ialah, kertas kerja ini berdasarkan kepada penerangan yang diberikan mengenai amalan kaunseling keluarga dalam agensi kerajaan. Kajian ini dijalankan di lembaga penduduk dan pembangunan keluarga negara. Berdasarkan kertas kerja ini, ianya telah menerangkan mengenai sumbangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) iaitu penubuhan LPPKN kearah pembentukan individu, keluarga dan masyarakat yang kukuh, berakhlak, sihat, berilmu dan harmoni melalui perkhidmatan kekeluargaan yang berkualiti. Setelah membaca mengenai LPPKN ini dengan lebih lanjut di laman webnya, barulah kami faham apa itu makna sebenar LPPKN.

Di dalam kertas kerja ini juga, penulis telah menjelaskan mengenai manfaat kemajuan yang ada sejak kemerdekaan, jika digunakan secara berfaedah oleh rakyat dan sekiranya diimbangi pertumbuhan penduduk dan kemajuan ekonomi maka pengurusan sumber akan lebih kukuh, terutamanya bagi sesebuah keluarga. LPPKN juga telah menyediakan khidmat kaunseling dan program-program untuk keluarga dan anak-anak di dalam keluarga tersebut.


3.0 Sumbangan LPPKN dan kaitannya dengan bidang kaunseling

Berdasarkan kertas kerja ini, kami dapat melihat yang penulis telah mengetengahkan mengenai sumbangan yang telah dilakukan oleh LPPKN. Dalam melaksanakan program kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia dengan lebih menyeluruh dan berkesan dalam melahirkan keluarga yang berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif juga, LPPKN telah memberikan komitmen dalam melaksanakan program-program untuk melahirkan sebuah keluarga yang baik. Antara khidmat kaunseling yang disediakan ialah;

Kaunseling perancang keluarga, Kaunseling seksual, Kaunseling keluarga, Kaunseling remaja, Kaunseling kanak­kanak, Kaunseling kelompok, Bimbingan kerjaya dan Tele­kaunseling. Kami dapati sumbangan ini dapat membantu keluarga dan masyarakat, terutamanya dalam bidang kaunseling keluarga. Kesemua kaunseling ini kami akan terangkan dalam tajuk kaitan khidmat kaunseling yang disediakan oleh LPPKN dengan dunia kaunseling.



4.0 Amalan Perkhidmatan


Dalam amalan perkhidmatan pula, LPPKN telah melaksanakan program khusus dan kemahiran dalam aspek kekeluargaan ianya adalah program pembangunan keluarga menerusi khusus dan aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran dalam kekeluargaan serta keibubapaan. Selain itu, ianya dapat meningkatkan tahap pengetahuan dalam kekeluargaan dan keibubapaan. Antara perkhidmatan yang disediakan oleh LPPKN ialah perkhidmatan perancangan keluarga, perkhidmatan kepakaran, Saringan kanser reproduktif, serta perkhidmatan latihan dan pembelajaran,

Dalam perkhidmatan perancangan keluarga, LPPKN menyediakan banyak perkhidmatan untuk keluarga. Antaranya ialah menyediakan kaedah perancang keluarga, kaunseling perancang keluarga dan perkhidmatan SMEAR. Semua perkhidmatan ini disediakan oleh jururawat klinik dibawah penyeliaan mentor berpengalaman. Selain itu, perkhidmatan doktor professional bagi mengendalikan kes perancang keluarga dan masalah berkaitan dengannya turut disediakan. Berdasarkan kepada laman web LPPKN, terdapat beberapa perkhidmatan lagi disediakan bagi perancangan keluarga, antaranya ialah LPPKN menyediakan suntikan kontraseptif dan pil kontraseptif kombinasi.

Perkhidmatan seperti menopaus, andropaus, pengurusan kemandulan, kaunseling seksual dan aktiviti kemasyarakatan berasaskan kes telah disediakan pada hari tertentu dan semua ini telah bermula pada bulan Mac 2012.


Bagi membantu penduduk setempat, satu perkhidmatan saringan kanser reproduktif wanita dan lelaki turut disediakan bagi faedah penduduk setempat dan supaya dimanfaatkan oleh penduduk setempat. Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik ialah, pemeriksaan payudara dan juga demonstrasi pemeriksaan sendiri, pemeriksaan pap smear, dan pemeriksaan testicular (buah zakar).


LPPKN juga telah menyediakan pelbagai program dan aktiviti latihan dan pembelajaran yang telah dirancangkan semuanya selaras dengan LPPKN. Antara kursus yang telah dibangunkan oleh LPPKN adalah kursus model pembangunan keluarga dan keibubapaan, serta kekeluargaan. Antara aktiviti yang mendapat sambutan ramai ialah bahtera KASIH (pemantapan keluarga), belaian KASIH (keibubapaan anak kecil), mutiara KASIH (keibubapaan anak kecil), Permata KASIH (pembangunan remaja) dan pancaran KASIH (kebapaan).

Pengendalian teknik kursus jurulatih adalah dalam bidang kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia. Selain itu, ianya adalah untuk menyebarkan data dan maklumat mengenai kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia melalui seminar, bengkel, forum dan persidangan. Aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan termasuklah perkhidmatan perancang keluarga yang bertujuan untuk menjaga kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan keluarga melalui amalan penjarakan kelahiran yang lebih baik. Setelah membuat penelitian, kami dapati yang amalan perkhidmatan ini, mampu membentuk keluarga yang bahagia jika institusi kekeluargaan itu memberikan kerjasama yang baik.



5.0 Masalah-masalah yang wujud


Kami dapat mengenalpasti beberapa masalah yang dikemukakan oleh penulis iaitu, penulis juga telah meberikan fokus kajian iaitu kepada pelaksanaan program keluarga dan masyarakat, yang mana ianya memberikan kesan kepada pembinaan keluarga yang kukuh dan masyarakat yang lebih penyayang dan seimbang. Dalam arus kemodenan dan pembangunan yang semakin pesat ini, langkah yang bijak perlu diambil bagi memastikan nilai kekeluargaan tidak dikorbankan atas keuntungan ekonomi samada di peringkat nasional mahupun individu, terutamanya untuk keluarga nukleur yang kecil, dan ditambah pula dengan ekonomi yang tinggi bagi pasangan suami isteri. Mungkin ini juga merupakan satu cabaran dalam masyarakat dan budaya penyayang pada masa kini. Untuk membantu semua keluarga tidak kira keluarga kecil mahupun keluarga besar. Masalah yang dapat dilihat di sini ialah dari segi ekonomi keluarga.

Kami juga dapat merasai bagaimana cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui apabila melihat kepada pernyataan yang dibuat oleh penulis demi untuk kesejahteraan sesebuah institusi kekeluargaan. Menurut Abd. Rahim (2006), cabaran yang berlaku ini mempunyai kaitan dengan perubahan dan pengaruh pada abad ke-21 ini. Revolusi pengetahuan, perkembangan teknologi maklumat, kemajuan bioteknologi, globalisasi, liberalisasi, demokrasi dan perkembangan berbagai-bagai ideologi baru yang berlaku pada abad ini mempunyai kesan serta memberi cabaran secara langsung atau tidak langsung kepada perkembangan institusi kekeluargaan.

Dalam meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk, cabaran yang paling besar dihadapi oleh LPPKN adalah untuk menangani masalah gejala sosial dalam kalangan remaja. Golongan ini sentiasa diberi keutamaan yang lebih kerana golongan ini adalah modal insan yang amat berguna pada masa hadapan untuk pembangunan negara. Pembangunan pesat negara ini membawa kepada gaya hidup baru generasi muda yang terdedah dengan pelbagai kegiatan seperti lumba haram, penglibatan dalam jenayah, terjebak dalam najis dadah dan seks bebas yang boleh mengundang kepada bahaya HIV dan AIDS. Gejala sosial yang semakin ketara berlaku ini dalam kalangan remaja mengundang keresahan masyarakat Malaysia. Sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu mempercayai tanpa memantau aktiviti dan pergerakan anak remaja mereka terutama selepas waktu persekolahan dikatakan salah satu punca gejala sosial ini terjadi. Atas alasan itu, LPPKN telah banyak merancang dan melaksanakan program jangka pendek dan panjang yang sesuai untuk menangani masalah ini namun terdapat banyak cabaran yang dihadapi untuk melaksanakannya sekiranya terdapat pelbagai halangan terutamanya institusi keluarga itu sendiri yang sukar memberi kerjasama.


Keibubapaan adalah tanggungjawab paling utama bagi setiap ibu bapa. Keberkesanan ibu bapa menjalankan peranan mereka akan menyumbang kepada masa depan yang cerah bagi generasi akan datang. Ketidakupayaan ibu bapa menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik akan mempengaruhi generasi akan datang. Oleh itu, bagi kami, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa untuk menjadikan peranan ini sebagai keutamaan mereka dan memperlengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran terkini agar mereka dapat menjalankan peranan ini dengan lebih berkesan.



Pada masa yang sama, peredaran masa dan perkembangan teknologi telah menyebabkan keibubapaan pada masa kini jauh berbeza dengan keibubapaan pada masa lalu. Berbagai cabaran wujud dalam bidang ini yang kadangkalanya memberi kesan kepada interaksi dalam keluarga. Contohnya perkembangan dalam teknologi telah mengubah cara hidup kita, cara berkomunikasi dan juga pada sistem masyarakat keseluruhannya. Kami dapati masalah ini sama juga yang diceritakan oleh pelajar sewaktu menjalani internship dulu iaitu kebanyakkan pelajar mengatakan yang ibu bapa mereka kurang berinteraksi dengan mereka kerana kesibukan kerja dan hanya mementingkan wang sahaja.




6.0 Kepentingan keluarga


Untuk menyelesaikan masalah diatas, setiap individu perlu mengetahui kepentingan keluarga. Beberapa kepentingan keluarga yang dapat kami kenalpasti ialah, penulis telah mengulas mengenai kepentingan keluarga sebagai, satu unit yang penting dalam masyarakat dan merupakan tonggak dalam pembinaan negara kita. Kanak-kanak juga dapat mengenali keluarga iaitu satu-satunya komuniti pertama yang diketahui mereka dan di dalam keluargalah kanak-kanak akan mendapat perlindungan dan mereka akan mempelajari mengenai nilai, kebaikan serta norma dan amalan dalam konteks budaya sendiri. Disinilah kepentingan keluarga dalam membentuk keperibadian anak-anak mereka dalam membina warganegara dalam acuan yang tersendiri di negara kita Malaysia.

Bagi kami institusi kekeluargaan sangat penting dalam membentuk sahsiah anak-anak kerana, ibu bapa, dan ahli di dalam keluarga boleh menjadi contoh tingkah laku anak-anak dan kami juga begitu, yang mana menjadikan ayah, ibu atau kakak mahupun abang yang berjaya sebagai inspirasi untuk kejayaan pada masa hadapan. Amat merisaukan jika terdapat adik yang menjadikan abangnya yang buruk akhlak sebagai contoh.

Kami merasakan perlunya ibu bapa berkerjasama dan mengambil tahu mengenai hal anak-anak disekolah kerana berdasarkan pengalaman kami juga, pelajar-pelajar di sekolah mengatakan yang sebab mereka bermasalah adalah disebabkan sikap tidak ambil tahu ibu dan bapa mereka.


7.0 Refleksi Kendiri

Secara keseluruhannya, refleksi kendiri yang dapat kami simpulkan menerusi ulasan kertas kerja ini ialah, LPPKN telah memainkan peranannya dalam membantu institusi kekeluargaan, malahan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan untuk kesejahteraan dan untuk generasi muda yang akan datang. Maka program-program ini haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Program seperti perkhidmatan kaunseling dan kaunselor mampu menstabilkan sesebuah keluaraga kerana tidak tertumpu kepada kaunseling secara individu sahaja malahan mencakupi skop yang luas seperti kaunseling perancang keluarga, kaunseling seksual, kaunseling keluarga, kaunseling remaja, kaunseling kanak-kanak, kaunseling kelompok dan kaunseling kerjaya seperti yang telah diulaskan oleh penulis. Berdasarkan pengalaman kami dengan pelajar yang mengikuti sesi kaunseling juga, kebanyakkan masalah pelajar adalah disebabkan faktor keluarga. Jadi keutuhan keluarga amat penting dalam pembentukan tingkah laku dan emosi anak-anak.


8.0 Ilmu baru yang diperolehi

Mungkin selama ini kami tidak mengetahui apa itu LPPKN namun, selepas membuat tugasan ini barulah kami mengetahui dan bagi kami pentingnya untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai LPPKN. Juga untuk menambah pengetahuan sebagai kaunselor kerana kami juga merupakan bakal kaunselor, mana tahu satu hari nanti akan menjadi kaunselor keluarga. Mungkin kami juga boleh menjemput ahli LPPKN yang pakar dalam bidang kaunseling iaitu kaunselor LPPKN untuk membuat ceramah bagi ibu dan bapa pelajar di sekolah. Selain itu kami dapat mengetahui mengenai kepentingan keluarga dalam pembentukan anak-anak.


9.0 Kaitannya dengan profesion sebagai kaunselor

Banyak kaitannya yang dapat dilihat mengenai isi-isi penting yang diterangkan dalam LPPKN dengan dunia kaunseling itu sendiri iaitu, faktor kesejahteraan keluarga boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak-anak. Keluarga yang bercerai berai boleh menjadikan anak sebagai mangsa dan disinilah peranan kaunselor diperlukan. LPPKN mungkin telah memainkan peranannya jadi apa salahnya jika keluarga turut bekerjasama dalam membentuk jati diri anak.

Kaitannya di dalam profesion kaunseling ialah, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan peranan institusi keluarga, LPPKN juga telah menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan dan kaunseling keluarga yang merangkumi perkara-perkara seperti perkahwinan, penjagaan anak dan keibubapaan. Kaunseling perkahwinan merupakan sejenis psikoterapi bagi pasangan yang telah berkahwin. Kaunseling yang dimaksudkan ini melibatkan satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara kaunselor dengan pasangan suami isteri yang berusaha untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perhubungan mereka setelah berkahwin. Kaunseling ini dapat membantu pasangan suami isteri untuk mengurus dan menangani masalah mereka dengan cara yang lebih efektif agar mereka dapat menghindarkan masalah kecil yang mereka hadapi menjadi masalah yang lebih serius. Dalam proses kaunseling keluarga dan perkahwinan, biasanya kaunselor yang menangani kes seperti ini akan memberikan fokus kepada peranan, corak perhubungan, matlamat yang ingin dicapai oleh ahli keluarga atau perkahwinan pasangan (klien) yang terlibat. Kaunselor akan membantu klien menilai aspek positif dan negatif perhubungan mereka dan membantu mereka memahami bahawa dalam isu keluarga atau perkahwinan, ahli keluarga atau pasangan suami dan isteri menyumbang kepada pembentukan dan penyelesaian masalah. Justeru itu, mereka perlu belajar untuk memahami, mengubah corak berinteraksi dan mengamalkan pendekatan yang lebih berkesan bagi menangani masalah mereka.


Seperti yang diketahui umum, golongan remaja merupakan peringkat yang amat gentir dalam proses kehidupan seseorang individu. Remaja merupakan zaman perantaraan antara alam kanak-kanak dan alam dewasa. Sebagai persediaan memasuki alam dewasa, banyak perubahan yang berlaku secara semula jadi dalam diri remaja. Perubahan tersebut termasuklah aspek biologikal, fizikal, mental dan sosial. Perubahan-perubahan tersebut pula memberikan satu dimensi baru dari segi tanggungjawab, peranan dan komitmen terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Perubahan ini juga berupaya menimbulkan satu kejutan dalam diri remaja, lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang pendedahan, pengetahuan dan kemahiran. Hal ini menyebabkan wujud kesedaran dalam LPPKN untuk mewujudkan khidmat kaunseling remaja.



Perkhidmatan kaunseling remaja berkait rapat dengan kewujudan pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja, bukan sahaja di negara Barat, tetapi di negara ini juga. Antara masalah sosial yang dikaitkan dengan remaja ialah seperti penyalahgunaan dadah, membaca dan menonton aksi lucah, mencuri, berjudi dan jenayah seks. Antara punca kepada permasalahan sedemikian ialah kurangnya pengetahuan, bimbingan dan panduan ataupun mendapat bimbingan dan panduan yang salah daripada individu yang tidak bertanggungjawab. Melalui perkhidmatan kaunseling remaja oleh LPPKN, ia dapat membantu remaja menempuhi alam remaja dengan selesa dan tanpa ragu-ragu. Di samping itu, ia menyediakan khidmat kaunseling dan perkhidmatan kesihatan bagi membantu remaja mengatasi masalah fizikal, mental dan sosial remaja. Golongan remaja juga diberi peluang berkenalan dengan rakan-rakan serta berkongsi pengalaman dan idea-idea baru serta memperkasakan remaja melalui bimbingan dan pendidikan. Selain golongan remaja, LPPKN juga memberi penekanan terhadap golongan kanak-kanak dengan menawarkan khidmat kaunseling kanak-kanak. Kaunseling kelompok, bimbingan kerjaya serta telekaunseling juga disediakan kepada semua golongan.



Berdasarkan pemahaman kami terhadap pengetahuan kaunseling keluarga, secara umumnya kaunseling keluarga boleh didefinisikan sebagai satu proses membantu klien yang terdiri daripada individu yang menghadapi masalah yang berpunca dari institusi sesebuah kekeluargaan yang mengalami perubahan sosial yang mendadak serta konflik nilai sikap ahlinya (keluarga).



Manakala, berdasarkan pengetahuan kami mengenai jurnal ini, kami dapat menyatakan bahawa kaunseling keluarga merupakan satu teknik terapuetik untuk meneroka dan mengubah masalah emosi masa kini yang saling berkait dalam sesebuah sistem keluarga dengan membantu ahli-ahli di dalam sistem keluarga itu mengubah corak interaksi mereka yang tidak berfungsi. Dalam proses kaunseling ahli-ahli keluarga dibantu untuk memperbaiki hubungan mereka antara satu sama lain. Perubahan yang berlaku akan menyebabkan perkembangan dan pertumbuhan ahli-ahli keluarga. Semasa proses kaunseling juga, ahli-ahli keluarga berhadapan dengan konflik dan dibantu untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi secara produktif supaya kedua-dua individu dan keluarga berkembang, sejahtera dan ‘subur’.



Di bawah program ini juga beberapa aktiviti penyelidikan telah dan sedang dilaksanakan dalam bidang-bidang biomedikal dan perubatan reproduksi manusia. Ini meliputi kajian-kajian mengenai kaedah-kaedah dan teknologi kontraseptif serta aspek kemandulan dan kebakaan. Perkhidmatan yang disediakan juga merangkumi kaunseling dan khidmat sokongan selain mempunyai bilik bedah dan makmal bagi membantu rawatan kesuburan dan telah mendapat sambutan daripada pasangan suami dan isteri.




10.0 Kekuatan dan Kelemahan

10.1 Kekuatan


Beberapa kekuatan yang dapat kami lihat berdasarkan kertas kerja tersebut ialah, penulis menggunakan sumber rujukan yang pelbagai dalam penulisannya. Terdapat beberapa rujukan yang digunakan iaitu buku, di samping jurnal, tesis dan laman web dan keratan akbar. Antara kekuatan yang dapat dikenalpasti oleh kami ialah penulis memberikan banyak isi-isi penting dan kandungan yang terdapat dalam LPPKN yang masih ramai lagi masyarakat yang tidak mengetahuinya. Berdasarkan penulisan juga penulis agak tersusun iaitu berdasarkan tajuk-tajuk kecil yang ada memudahkan kami untuk membaca dan memahaminya serta senang untuk memahami objektif sebenar penulisan. Selain itu, himpunan ayat-ayat Al-Quran berserta doa untuk diamalkan oleh ahli keluarga juga sangat menarik dan menguatkan lagi penulisan penulis.



Kekuatan lain juga ialah penulis bijak mengaitkan antara fakta dengan isi yang diolah. Misalnya, penulis mengaitkan peranan LPPKN dan kepentingannya untuk institusi kekeluargaan. Semua perkhidmatan, program, dan kekuatan LPPKN dan keluarga juga dimasukkan dalam penulisan. Penulis juga berhati-hati dalam penulisan dengan merujuk kepada sumber rujukan yang lain agar tidak berlaku percanggahan pendapat dalam menghuraikan tajuk yang dibincangkan serta membuat cadangan nilai tambah sebagai satu strategi bagi memberikan kefahaman mengenai perkhidmatan yang disediakan. Serta kertas kerja ini banyak mengaitkan masalah-masalah yang berkaitan keluarga dan anak-anak serta cara mengatasinya.




10.2 Kelemahan



Walaupun penulisan penulis agak baik, namun kami dapati masih terdapat kelemahan-kelemahan kecil penulis yang dikesan dalam penulisan jurnal ini. Antaranya ialah rujukan penulis sangat sedikit. Selain itu, penulis tidak banyak menghuraikan mengenai amalan kaunseling keluarga dalam agensi kerajaan, dan hanya secara ringkas sahaja diterangkan. Peranan keluarga dan definisi keluarga juga masih kurang jelas. Contoh-contoh dan bukti-bukti amalan kaunseling keluarga juga tidak disertakan untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan lagi penulisan.



11.0 Cadangan penambahbaikan/untuk mengatasi masalah-masalah ini

Beberapa cadangan ingin kami kemukakan untuk mengatasi masalah ini, antaranya ialah fokus tidak hanya kepada keluarga besar tetapi juga kepada keluarga kecil seperti yang telah kehilangan suami, isteri atau anak dan membuat tinjauan mengenai masalah di dalam sesebuah keluarga. Serta perlu menekankan dengan lebih lagi mengenai kaunseling keluarga. Juga boleh meninjau peranan ibu bapa di sekolah.

Walau bagaimanapun, beberapa perkara penting yang sepatutnya kekal terutamanya dalam hubungan keluarga dan juga beberapa peranan asas keibubapaan. Untuk memastikan hubungan stabil dan dapat menghadapi perubahan serta anak-anak dapat membesar dengan sihat dari segi fizikal dan rohani, ibu bapa mestilah mempelajari bagaimana untuk menghadapi perubahan ini secara positif. Ibu bapa mesti belajar untuk mengadaptasikan diri dengan perubahan-perubahan ini agar dapat menjalankan peranan sebagai ibu bapa dengan berkesan.


Ilmu keibubapaan yang efektif memerlukan persediaan, pembelajaran dan latihan seperti bidang profesion yang lain. Selaras dengan perubahan masa, kemahiran yang sedia ada harus disesuaikan dengan persekitaran yang baru. Oleh itu, keibubapaan tidak sepatutnya statik tetapi sesuatu yang dinamik. Untuk memastikan keibubapaan sentiasa efektif, ia mesti boleh menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekitarnya. Membesarkan anak bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah. Sejauhmana keberkesanan ibu bapa menjalankan peranan bergantung kepada interaksi ibu bapa dengan anak-anak mereka.



Individu harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lengkap sebelum menjadi ibu bapa. Keupayaan tersebut boleh dicirikan oleh pengetahuan pelbagai jenis strategi yang dapat membantu pertumbuhan dan perkembangan anak-anak mereka. Setiap keluarga harus dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan untuk membolehkan mereka mendidik anak-anak mereka dengan lebih baik. Sebagai tambahan ibu bapa harus faham dan bersedia untuk mengemaskinikan pengetahuan mereka tentang perubahan pada persekitaran mereka. Sesetengah perubahan ini mungkin memerlukan mereka untuk mengubah corak keibubapaan dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Ibu bapa yang efektif akan menyediakan anak-anak mereka untuk menghadapi dunia luar, oleh itu untuk menjadi ibu bapa yang efektif mereka harus mengadaptasikan sebahagian corak keibubapaan mereka dengan perubahan terbaru dalam persekitaran mereka.



Oleh itu, ibu bapa perlu menyediakan kasih sayang dan kediaman yang selesa kepada anak-anak. Kita juga perlu berhadapan dengan realiti yang dunia kita pada masa kini menghadapi krisis. Sekiranya kita ingin melihat anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah, kita bertanggungjawab untuk mengubah keadaan pada masa kini. Ini merupakan tanggungjawab yang berat dan mencabar. Namun, kerjasama semua pihak boleh mewujudkan persekitaran yang lebih baik. Justeru, program kemahiran keibubapaan harus diberi keutamaan dan diajar di institusi-institusi pendidikan, pusat-pusat komuniti serta di tempat-tempat kerja. Perkara ini adalah satu program yang amat penting untuk diadakan. Menerusi program seperti ini, kita dapat melahirkan generasi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab dan berdedikasi.




12.0 Kesimpulan


Sebagai kesimpulannya, kami percaya dalam era globalisasi ini, perkara yang paling penting adalah menyediakan anak-anak yang boleh menghadapi cabaran-cabaran kehidupan mereka. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang penting untuk mendidik dan membantu anak-anak mereka menjadi lebih tabah, adaptif dan boleh menangani perubahan-perubahan yang berlaku pada persekitaran mereka. Dengan kata lain, pucuk pangkalnya bermula dari ibu bapa. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka supaya dapat mengadaptasikan diri dalam dunia tanpa sempadan pada masa kini.


Keluarga yang dibina dengan penuh kasih sayang akan dapat melahirkan insan yang prihatin dan bersifat penyayang.Ingatlah bahawa anak adalah amanah dari Allah. Kita perlu jaga amanah ini dengan betul dan cermat supaya ia tidak mendatangkan sebarang mudarat. Allah SWT telah berfirman dalam surah Luqman, ayat 13, bermaksud; "dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: `wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang besar". Kita perlu sedar bahawa anak-anak kita adalah pewaris yang bakal menerajui negara. Oleh itu, mereka perlu mempunyai akhlak yang luhur dan tingkahlaku yang terpuji. Oleh yang demikian, semua pihak agar turut bersama dalam memperkukuhkan institusi keluarga. Diharapkan usaha-usaha seperti kaunseling keluarga dan keibubapaan ini dapat membantu golongan ibu bapa serta masyarakat membendung gejala-gejala sosial dan seterusnya mewujudkan keluarga Malaysia yang harmoni dan sejahtera. Semoga matlamat kita ke arah satu masyarakat dan negara yang aman, stabil dan makmur akan tercapai.



LPPKN memainkan peranan penting dalam membangunkan institusi kekeluargaan, namun keluarga sendiri harus memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan hasrat keluarga bahagia dan untuk melahirkan generasi yang sihat dan menjauhi perkara-perkara yang tidak baik. Oleh itu, semua pihak perlu membantu dan bekerjasama dalam memberikan kerjasama antara satu sama lain untuk mewujudkan masyarakat yang sihat dari segi dalaman dan luaran serta fizikal dan mental.


RUJUKAN

Abd. Rahim Abd. Rashid, Sufean Hussin, & Jamaludin Tubah, (2006). Institusi Keluarga Menghadapi Cabaran alaf baru. Kuala lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Zainuddin Bin Jusoh, Azlan Bin Aris, & Mohamed Sharif Bin Mustaffa. (2008). Amalan kaunseling keluarga dalam agensi kerajaa: Kajian di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga negara. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Laman web rasmi LPPKN; http://www.lppkn.gov.my/guest/index.php





Terima Kasih Kerana Sudi Membaca,Sila Berikan Komen Serta LIKE (:

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

 
Template Edited By H Nurani's Sketch ♥ All Rights Reserved © 18 Sept 2013