Perkataan kaunseling semakin signifikan dalam masyarakat
hari ini. Hal ini bermaksud perkhidmatan kaunseling semakin penting dan
diperlukan oleh orang ramai. Namun, ada juga masyarakat yang mempunyai anggapan
yang salah pada perkhidmatan ini. Sebenarnya kaunseling bukan sahaja sesi bagi
kaunselor menyelesaikan masalah klien. Sebaliknya, ia adalah proses khidmat
kaunseling yang istimewa di mana klien sendiri menyelesaikan masalah dan
membuat keputusan untuk dirinya sendiri.
Profesion kaunseling secara umumnya merangkumi
bidang-bidang seperti pendidikan, pekerjaan, perkahwinan, penyesuaian dan
sebagainya. Ia melibatkan pembangunan manusia dalam kehidupan seharian. Maka,
perkhidmatan kaunseling menjadi semakin penting dalam dunia yang semakin
bersaing, maju dan global walaupun ia masih berada pada tahap perkembangan dan
pengukuhan.
Bimbingan dan kaunseling adalah salah satu cabang ilmu
psikologi. Mengikut English dan English (1980) kaunseling adalah satu
perhubungan ‘menolong’ yang melibatkan penolong dan individu yang ditolong. Ia
sama seperti yang dinyatakan oleh Burk dan Steffire (1979) kaunseling
melambangkan satu perhubungan antara kaunselor yang terlatih dan orang yang
menghadapi masalah.
English dan English (1980) juga menegaskan bahawa
kaunseling adalah:
- Bidang-bidang penyesuaian yang dapat diketahui melalui hubungan peribadi-sosial.
- Rujukan adalah kepada klien yang normal
- Perkhidmatan ini prlu dilakukan oleh individu yang terlatih dan profesional.
Menurut Gladding (2003), kaunseling ialah proses menolong
individu yang normal dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan
tugas-tugas perkembangan dan keadaan hidup. Tujuannya adalah bagi mengenali
diri, permasalahan, penyesuaian, menenteramkan emosi dan fikiran yang dihadapi
oleh klien.
Sesi kaunseling dijalankan secara berperingkat iaitu
bermula dari peringkat prasesi hingga penamatan. Peringkat membina hubungan
adalah langkah utama sebagai persediaan sesi yang seterusnya. Proses ini
melibatkan kemahiran kaunselor dalam mengendalikan kliennya supaya mewujudkan
proses kaunseling yang berkesan.
Mengkikut Kelly (1976), individu akan bertingkah laku
mengikut apa yang dipercayai benar. Hal ini bermakna tingkah laku individu
dipengaruhi oleh cara seseorang berfikir. Manakala, menurt Blocher (1966),
kaunseling dapat mempercepatkan individu mempelajari keadaan peribadinya secara
mendalam. Ia dapat dilakukan dengan memahami watak dirinya dalam kehidupan
seharian.
Menurut Abdul Ghani (2003), dalam proses menolong
kaunselor harus mementingkan segala aspek perhubungan supaya perhubungan
menjadi berkesan dan erat.
Menurut Pepinsky dan Pepinsky (1954), kaunseling
didefinisikan sebagai interaksi yang terjadi apabila berlaku perkara berikut:
- Apabila pertemuan antara dua orang yang dipanggil kaunselor dan klien.
- Berlaku dalam satu persekitaran yang profesional.
- Ia merintis jalan bagi mengekalkan satu cara atau kaedah yang mampu mewujudkan perubahan-perubahan tingkah laku.
Dalam Akta Kaunselor (1998), menjelaskan kaunseling adalah
suatu proses sistematik bagi membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip
psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor mengikut kod etika kaunseling bagi
mencapai sesuatu matlamat kaunseling.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa proses kaunseling
melibatkan seorang kaunselor dan seorang klien yang mempunyai matlamat yang
sama iaitu berusaha mencapai matlamat sesi kaunseling.